AgamaNasional

KDN tak berhak tarik rayuan kalimah Allah tanpa rujuk Majlis Raja-Raja

KETUA Penerangan Bersatu, Razali Idris menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berhak menarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah tanpa merujuk kepada pihak berkuasa agama serta Majlis Raja-raja sebagai ketua agama.

Beliau berkata, keputusan kerajaan menarik balik rayuan itu melanggar titah Sultan Johor dan Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam negeri-negeri yang menjadi asas rayuan semula ke atas keputusan Mahkamah Tinggi selain boleh dianggap campur tangan kerajaan dalam proses sistem kehakiman negara.

KETUA Penerangan Bersatu, Razali Idris

Tegas beliau, KDN juga telah membelakangkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada 2008.

Ia memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, Menteri KDN tidak mempunyai hak membuat keputusan menarik balik rayuan tanpa merujuk kepada raja-raja, Majlis Agama Islam Negeri dan jawatankuasa Muzakarah Malaysia yang mempunyai autoriti dalam menentukan perkembangan agama Islam di Malaysia.

Kelmarin, KDN dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dan tiga perkataan Arab lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan itu yang difailkan pada 18 April lepas menyatakan kedua-dua perayu tidak berniat meneruskan notis rayuan yang dikemukakan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan di Mahkamah Rayuan tanpa perintah terhadap kos.

Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan Jill Ireland, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, keputusan kes penganut Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran hanya khusus untuk Sarawak.

Razali berkata, kenyataan bercanggah itu merupakan tindakan terdesak kerajaan Anwar untuk terus mengekalkan sokongan Sabah dan Sarawak kepada Putrajaya.

“Dengan keputusan politik tersebut, saya berpendapat PM juga menjangka peroleh sokongan maksimum pengundi bukan Melayu Islam kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi terutama Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan supaya kekal memerintah,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Na’im Mokhtar perlu menyatakan pendiriannya secara tegas dan jelas bagi mempertahankan titah Majlis Raja-raja. – SM

BACA Penggunaan kalimah Allah terhad di Sarawak, untuk penerbitan bahan agama Kristian – Anwar

BACA Kalimah Allah: KDN buat keputusan tak teruskan rayuan

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button