Nasional

Memahami Intipati Tema Hari Guru 2020

Oleh Jennifah Noordin

TEMA Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” adalah tema hari guru tahun 2020.

Tema ini menekankan pentingnya guru dan pelajar itu untuk jatuh cinta pada ilmu, dan bersemangat untuk mencari ilmu dan kepandaian.

Makanya, menjadi tanggungjawab guru untuk memahami, menghayati dan mengaplikasi tema ini agar ia bukan semata-mata satu teori atau retorik tetapi satu realiti yang dapat dilihat kesannya dalam kalangan guru dan pelajar.

Pada masa yang sama, sejajar dengan ulasan yang diberikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, tema ini juga menganjurkan pelajar harus mempunyai sikap cinta untuk berguru iaitu minat untuk belajar tanpa disuruh yang didorong rasa tidak puas dan tidak cukup terhadap ilmu yang dimiliki.

Berguru demi ilmu juga boleh ditafsir sebagai proses pembelajaran yang berterusan atau konsep “pembelajaran sepanjanghayat”.

Satu lagi kata kunci yang dikongsi Menteri Kanan pendidikan adalah penerokaan ilmu.  Penerokaan ilmu sinonim dengan penjelajahan, pengembaraan dan penyelidikan. Ia dapat digambarkan sebagai usaha menjelajah ilmu baru atau ilmu yang tidak di ketahui sebelum ini.

Ia seterusnya akan membantu cetusan kreativiti dan inovasi di kalangan guru dan pelajar. Ringkasnya, minat yang mendalam terhadap ilmu,sikap ingin tahu, dan sikap tidak cepat putus asa adalah sangat kritikal untuk menjayakan tema ini.  

Ilmu Tanpa Sempadan

Generasi masa hadapan adalah generasi yang lahir di dalam era teknologi dimana maklumat dapat diakses tanpa sempadan mahupun batasan masa dan tempat. Ia menjadi satu cabaran yang besar dikalangan guru kerana ilmu itu tidak terbatas di dalam kelas sahaja.

Kesannya, guru perlu sentiasa cakna dengan perkembangan pantas teknologi dan isu-isu semasa. Di sini, guru dan pelajar harus sama-sama mengakui kepentingan ilmu kerana tanpanya mereka akan ketinggalan dan mula hilang kemampuan untuk berdaya saing, menganalisa sesuatu isu dan membuatkeputusan yang bijak di masa hadapan.

Pengembaraan dan penerokaan ilmu ini boleh dilihatdaripada sudut pembelajaran formal dan tidak formal. Pembelajaran tidak formal yang bermula dari rumahdan persekitaran agak mudah untuk direalisasikankerana kita bermain dengan kemahiran.

Contohnya ilmu mengenali hutan, laut, kemahiran memasak, kemahiran bertukang dan kemahiran berkomunikasi. Ia mudah disampaikan kerana ia bersifat praktikal.

Cabaran lebih besar ialah dalam pembelajaran formal, di mana pelajar perlu mempelajari beberapa subjekyang telah ditentukan mengikut aliran pelajar.

Umpamanya apabila pelajar perlu belajar subjek sains, pendekatan yang sesuai harus difikirkan agar ia dapat merangsang pelajar untuk minat menggali ilmu tanpahenti. Bukan semata-mata untuk lulus peperiksaan.  

Menyemai Minat Pelajar

Ini adalah tanggungjawab semua pihak. Sebelum pelajar memasuki alam persekolahan, ibu-bapa harus memainkan peranan untuk mencuit hati anak-anak kecil ini mencintai pengembaraan ilmu formal dan tidak formal.

Minat dan kemahuan pelajar untuk mempunyai pemikiran sendiri dan minat yang mendalam terhadap ilmu mesti dibentuak seawal mungkin. Sekolah dan Kementerian boleh melaksanakan banyak strategi dan perancangan, tetapi kejayaan sesuatu objektif dan usaha itu banyak bergantung kepada individu itu sendiri.

Hanya melalui penjelajahan ilmu itu barulah kita dapat melahirkan generasi baru yang sangat kreatif, inovasi, berpengetahuan luas, dan mampu bersaing di dunia global. Bagi pihak guru pula, semoga tema ini dapat merangsang guru-guru untuk sentiasa mencari ilmubaru dan kreatif dalam sesi pembelajaran dan pengajaran.

Dalam pada itu, keghairahan pelajar meneroka ilmu harus disulami dengan adab. Tidak ada gunanya memiliki generasi yang berilmu, kreatif dan tahan lasak tetapi tidak beradab. Guru mesti dipandang sebagaiikon, contoh dan satu figura yang perlu di santuni dan bukan diperlekeh.

Sesungguhnya, kerjasama tuntas di antara kementerian, sekolah, guru-guru, ibu-bapa, masyarakat dan pelajar-pelajar adalah kunci utama yang akan dapat menentukan kejayaan tema hari guru 2020 ini.

Masanya sudah lama tiba di mana guru dan pelajar wajar dilihat sebagai entiti yang bekerjasama dalam apa jua aktiviti. Semoga tema Hari Guru 2020 ini dapat membantu merangsang, menghidup dan menyubur semangat dan jati diri para Guru sebagai pemegang taruh terbesar masa depan pelajar negara yang lebih cemerlang.

Guru….

Harus melihat kehadapan

Harus ada visi

Harus cekal

Harus terus mencari

Demi cinta di hati

Guru…

Harus mengajar dengan ikhlas

Harus mendidik dengan hati

Harus penuh dengan cinta

Guru….

Banyak masa yang di sumbangkan

Banyak tenaga yang di gunakan

Banyak wang ringgit yang di korbankan

Kerana dalam hati penuh cinta

Guru…

Ada masa hati mu terluka

Ada masa hati mu gusar

Ada masa hati mu keciwa

Ada masa hati mu puas

Ada masa hati mu girang

Semuanya kerana cinta

Guru…

Mekarkan cinta mu

Harumkan wangian mu

Biar ia semarak di serata dunia

Walau pun pengorbanan mu

Kadang di lupakan.

Kerana sifat guru

Memang penuh dengan cinta

PENULIS adalah Pensyarah Kanan, FSPPP UiTM Sabah

 

(Visited 478 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button