Nasional

Maszlee bersyukur ringankan 60% beban guru ketika jadi menteri

AHLI Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik bersyukur kerana berjaya mengurangkan beban guru ketika menjawat jawatan menjadi menteri pendidikan.

Jelas Maszlee, dalam tempoh memegang amanah menerajui Kementerian Pendidikan beliau berjaya mengurangkan sekurang-kurangnya 60 peratus kesukaran yang dihadapi oleh tenaga pengajar di sekolah.

Menurut Maszlee, mengikut perancangan beliau sekurang-kurangnya 80 peratus beban guru dapat diringankan menjelang hujung tahun ini.

“Ikut perancangannya, tahun ini akan dilancarkan satu aplikasi untuk cikgu-cikgu mohon tukar suka sama suka. Sebenarnya proposalnya sudah lengkap, yang tinggal hanya tindakan dan pelancaran sahaja.

“Saya tidak pasti status perancangan itu bagaimana sekarang. Yang pasti, walaupun ada banyak keadaan di mana usaha-usaha ini terpaksa melalui liku-liku prosedur dan sebagainya, saya tetap mahu ia dapat dilaksanakan sebab tujuannya cumalah satu, iaitu guru-guru,” kata Maszlee sempena Sambutan Hari Guru hari ini.

Menurutnya, apa sahaja perubahan yang diambil beliau ketika menjadi menteri pendidikan mesti berpusatkan kepada guru-guru.

Malah semasa mahu membentuk Jawatankuasa Kajian Dasar untuk merangka reformasi besar-besaran sistem pendidikan negara ramai cikgu dan pelajar dipanggil untuk memberi pandangan.

“Walaupun syor-syor ini tidak sempat dilaksanakan, ia akan menjadi satu naskhah dan proposal yang sangat penting dan bersejarah. Saya simpan dan dokumentasikan baik-baik.

“Begitulah sedikit coretan saya bersama guru-guru. Jika nak cerita semua, memang tak habis.

“Terima kasih cikgu-cikgu semua, yang pernah saya jumpa juga yang tak pernah saya jumpa, terima kasih kerana menjadi kekuatan saya di hari-hari yang saya sangat perlukannya,” kata Maszlee.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatannya sebagai menteri pendidikan pada 2 Januari lalu ketika era pemerintahan Pakatan Harapan.

Maszlee dalam sidang medianya berkata, beliau mengambil keputusan itu selepas mendapat nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya dengan taat setia dan reda walaupun berat, dengan nasihat ayahanda Perdana Menteri, saya Maszlee Malik memulangkan semula jawatan sebagai Menteri Pendidikan kepada Perdana Menteri berkuat kuasa pada 3 Januari 2020.

“Keputusan ini dibuat selepas saya dilihat bukan melalui pencapaian. Kementerian Pendidikan sering jadi perhatian terutama media bukannya melalui pencapaian kita, apa yang berlaku selama 20 bulan ini yang tidak dicapai pada tahun (kepemimpinan) sebelum ini.

“Saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepemimpinan terutama membabitkan isu tulisan Jawi, internet sekolah dan sarapan percuma, dan saya percaya keputusan ini bukan pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan baharu,” katanya pada sidang media khas di ruang legar kementeriannya pada 2 Januari.

Peletakan jawatan Maszlee mengejutkan banyak pihak. Antara dasar beliau yang diingati adalah menukarkan pemakaian kasut berwarna putih kepada kasut berwarna hitam bagi memudahkan murid dan ibu bapa.-SM

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button