BeritaNasionalPendidikan

Makanan berharga RM3.50 untuk pelajar UniMAP

PELAJAR Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sudah boleh makan dengan hanya ada RM3.50 ditangan. Bermakna tiada istilah pelajar akan kelaparan selagi menuntut di UniMAP.

Ini berikutan UniMAP menawarkan pakej menu makanan Keluarga Malaysia@UniMAP di semua kafeteria kolej kediaman dengan harga serendah RM3.50 untuk dinikmati lebih 13,000 pelajarnya.

Sarapan, makan tengah hari dan makan malam semuanya pada kos RM3.50 sahaja.

Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, usaha tersebut dilakukan bagi meringankan beban di samping rasa tanggungjawab universiti untuk menjaga kebajikan pelajar yang dilihat terkesan ekoran kenaikan kos sara hidup.

“UniMAP komited dan selari dengan seruan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan harga barang dan makanan dalam kampus terus terkawal dan tidak membebankan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata beliau, universiti sentiasa bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) bagi memastikan tiada isu keciciran maklumat berkaitan sebarang isu dan permasalahan melibatkan kebajikan pelajar.

“Pihak kami akan memastikan pemantauan penuh mengenai tanda harga makanan dan barangan dilaksanakan di semua premis dalam kampus supaya tiada sebarang kenaikan harga yang luar biasa sehingga membebankan pelajar terutama daripada golongan B40.

“Hasrat UniMAP adalah untuk memastikan pelajar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kondusif bagi meneruskan pengajian,” katanya.

Ujar beliau lagi, selain pelaksanaan pakej menu makanan Keluarga Malaysia@UniMAP, pihak universiti telah melancarkan projek Insentif Khas Kasih UniMAP sejak 6 Julai 2020 lalu meliputi penyediaan food bank; peluang pekerjaan kepada pelajar melalui Skim Tabung Dedikasi Diri; Insentif Keusahawanan; Insentif Inovasi; pengangkutan percuma dan banyak lagi.

“Malah pihak UniMAP akan memperkasakan beberapa jenis inisiatif baharu dalam mendukung usaha yang kita mulakan melalui Insentif Khas Kasih UniMAP khusus bagi mengurangkan beban kewangan pelajar,” katanya.

Zaliman berkata, pihaknya bersikap terbuka dan mengalu-alukan sebarang  bentuk cadangan atau perbincangan daripada semua pihak dalam usaha memastikan kebajikan pelajar terjaga dan seterusnya membolehkan mereka ini menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Zaliman juga turut mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang ingin bersama menyumbang bagi membantu meringankan beban pelajar yang terkesan. – SM

(Visited 801 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button