Politik

Maszlee tolak jawatan dalam Mara

AHLI Parlimen Simpang Renggam Dr. Maszlee Malik menolak jawatan strategik dalam Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Maszlee berkata, beliau mahu memberi perhatian kepada rakyat yang kini hidup dalam kesempitan akibat tekanan ekonomi berikutan bencana yang dicetuskan oleh virus maut Covid-19.

Menurut bekas Menteri Pendidikan itu, di kawasan Parlimennya sendiri terlalu banyak keluarga yang tersadai derita dan perlu dibantu.

“Saya mengambil maklum berita yang telah tersiar mengaitkan nama saya dengan lantikan di sebuah agensi kerajaan.

“Justeru itu, saya tidak boleh menerima lantikan ini buat masa ini. Kita masih belum menang melawan Covid-19. Negara kita harus menang dahulu, bebas dari bencana, dan kehidupan rakyat kembali stabil,” kata Maszlee.

BACA Tiga wakil rakyat Bersatu sertai Mara

Sementara itu, Maszlee berkata, beliau percaya sebarang bentuk lantikan adalah amanah dari rakyat dan harus dipulangkan kepada rakyat.

Jelas beliau, sebarang pelantin perlu berpaksikan rakyat dan bukannya berdasarkan keuntungan peribadi semata-mata.

“Perhitungan saya jelas, keputusan yang bakal saya lakukan mesti selari dengan mandat yang diberikan kepada saya dari penyokong dan rakyat Simpang Renggam khususnya, juga rakyat Malaysia umumnya,” jelas Maszlee.

Mengenai Mara, Maszlee berkata, beliau yakin banyak pembangunan dan kemajuan yang telah dicapai sejak penubuhan agensi itu dan banyak lagi potensi yang boleh dikembangkan.

Menurutnya, Mara telah berjaya melahirkan ramai golongan profesional dan usahawan bumiputera yang secara tidak langsung telah membantu memartabatkan ekonomi golongan bumiputera.

Beliau berharap agensi berkenaan memberi fokus membantu golongan B40 dan pekerja yang terjejas akibat Covid-19.

“Agensi ini perlu memberikan tumpuan sepenuhnya untuk benar-benar membantu golongan B40, pekerja makan gaji hari, juga bumiputera yang telah kehilangan kerja dan ramai lagi kelompok rakyat yang terjejas akibat Covid-19. Mereka sangat-sangat perlu dibantu,” kata Mazlee.

Pelantikan Maszlee sebagai pengerusi jawatankuasa penasihat Mara Corp diumumkan semalam oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abd Latiff Ahmad. Mara Corp adalah cabang pelaburan Mara.

Media sebelum ini melaporkan tiga wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dipilih untuk memegang jawatan strategik dalam Mara.

Selain Maszlee, turut dilaporkan dipilih adalah Ahli Parlimen Beufort, Datuk Azizah Mohd. Dun dan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka Paya Rumput, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.-SM

(Visited 241 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button