BeritaPendidikan

Raja Muda Perlis titah warga pendidik agar hayati tema hari guru

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar tema Hari Guru bagi tahun ini iaitu “Guru Tunjang Sekolah Sejahtera” perlu dihayati sepenuhnya oleh semua warga pendidik agar aspirasi pendidikan negara yang menjadi impian seluruh rakyat dapat dicapai. Dalam hal ini, adalah diharapkan supaya seluruh warga pendidik perlu terdidik dengan ilmu dan kemahiran insaniah yang tinggi agar mampu menjalankan amanah dan bertanggungjawab terhadap profesion mulia ini. Baginda amat mengharapkan para guru sebagai insan pendidik dapat memartabatkan pendidikan di landasan yang tinggi dan berkualiti, sesuai dengan pelbagai transformasi dan inovasi semasa, selaras dengan tahap pengetahuan murid-murid yang semakin meningkat dan meluas.

Demikian titah Tuanku Raja Muda ketika merasmikan ‘Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2022’ yang diadakan di Dewan Warisan Kangar pada pagi tadi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke majlis tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Negeri Perlis itu disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menitahkan bahawa tugas guru menjadi semakin mencabar apabila perlu menyesuaikan diri dengan norma kehidupan dan kebiasaan baharu yang memerlukan kekuatan dalam aspek fizikal, jiwa, dan mental.

Tambah Tuanku Raja Muda, ‘Guru perlu mempunyai anjakan paradigma untuk menerima senario baharu dan menyediakan generasi baru bagi menghadapi cabaran pendidikan di peringkat global dan seterusnya berkeupayaan menjadi generasi yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding murid-murid negara lain. Guru jugalah yang menjadi pemangkin dalam membentuk akhlak dan jiwa anak-anak dengan nilai-nilai yang akan memakmurkan dan mensejahterakan kehidupan dunia dan akhirat nanti’.

Pada tahun ini Datin Noridah binti Yangman dinobatkan sebagai Tokoh Guru manakala Adzhar Shafie pula diumumkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan.

(Visited 303 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button