Nasional

Guru dituntut perkasa pengajaran dalam talian – PM Muhyiddin

GURU di negara ini dituntut supaya mendalami kemahiran pengajaran secara dalam talian dan ‘home-based learning’, kebiasaan baharu dalam bidang perguruan pada masa kini, yang berubah ekoran penularan wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pengajaran dan pembelajaran tidak lagi dijalankan secara bersemuka, sebaliknya guru terpaksa menggunakan pelbagai kaedah lain untuk berhubung dengan pelajar.

guru“Ramai menggunakan aplikasi dalam talian seperti Google, Classroom, cikgooTUBE dan Zoom untuk melaksanakan pembelajaran di rumah atau home-based learning. Tidak kurang juga cikgu menggunakan aplikasi Whatsapp dan Telegram. Saya diberitahu ada juga cikgu yang menyampaikan latihan sukan secara online.

“Namun saya sedar bahawa masih ada kekangan dalam melaksanakan pembelajaran dalam talian di rumah kerana tidak semua murid mempunyai akses internet yang baik. Ramai juga yang tidak memiliki peranti yang sesuai.

“Untuk pelajar kumpulan ini, saya tahu cikgu menggunakan pelbagai kaedah lain, sebagai contoh ada yang mencetak soalan untuk kerja rumah murid dan bekerjasama dengan PIBG bagi menghantar soalan ke rumah murid,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Guru 2020 bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ yang disiarkan di stesen televisyen hari ini.

Sementara itu, Muhyiddin turut menzahirkan rasa terharu dan sangat menghargai kesungguhan yang ditunjukkan oleh guru-guru dan ibu bapa dalam perkara tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata proses pendigitalan dengan menggunakan platform dalam pembelajaran maya akan terus diperkasa kerana yakin pembelajaran maya adalah masa depan dalam pendidikan.

Beliau turut percaya ramai yang tertanya-tanya bilakah sekolah akan kembali dibuka selepas hampir dua bulan ditutup untuk mengelakkan penularan pandemik COVID-19.

Katanya sepertimana diumumkan Menteri Kanan merangkap Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini, tarikh pembukaan semula sekolah akan dimaklumkan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum sekolah dibuka selain turut bergantung kepada nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Apabila sekolah dibuka nanti, untuk permulaan, kita berikan keutamaan kepada murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk ke sekolah dahulu.

“Ini untuk memastikan SOP (prosedur operasi standard) mengenai jarak sosial dan penjagaan kebersihan diri yang ditetapkan Kementerian Pendidikan dapat dipatuhi. SOP ini meliputi prosedur mengenai ketibaan murid di sekolah, pergerakan ke bilik darjah, susunan meja dalam bilik darjah, pergerakan di kantin dan pelbagai aspek lain,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut melahirkan rasa gembira dan lega kerana hasil pelbagai inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, berjaya membawa Malaysia keluar daripada kelompok satu pertiga terbawah dalam penarafan sistem pendidikan di peringkat antarabangsa.

“Saya terlibat dalam merangka pelan ini ketika menjadi Menteri Pendidikan dahulu. Pada ketika itu kita amat bimbang dengan pencapaian pendidikan di negara kita yang dikatakan berada dalam kelompok satu pertiga terbawah,” katanya.

Perdana Menteri berkata hasil pelan itu, pencapaian murid di negara ini dalam ujian Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) bagi mata pelajaran Matematik juga meningkat daripada 421 mata pada 2012 kepada 440 mata pada 2019.

“Pencapaian murid kita dalam mata pelajaran Sains telah meningkat daripada 420 mata pada 2012 kepada 438 mata pada tahun 2019. Tahniah saya ucapkan kepada semua guru-guru kita semua,” kata beliau.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata pencapaian negara secara keseluruhannya masih berada di bawah paras pencapaian purata negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Sehubungan itu, beliau menuntut guru-guru supaya melipatgandakan lagi usaha untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ini agar setanding dengan kualiti pendidikan peringkat antarabangsa.

“Saya tahu usaha ini akan memakan masa, kerana itu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dirangka untuk dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun, iaitu bermula 2013 hingga 2025.

“Kita ada lima tahun lagi untuk melonjakkan kualiti pendidikan di negara kita supaya berada dalam kategori sepertiga teratas atau ‘the top third’ dalam penarafan kualiti sistem pendidikan antarabangsa,” katanya.

Beliau percaya dengan semangat, komitmen dan dedikasi semua guru di negara ini, Malaysia akan berjaya mencapai matlamat itu.

Semasa mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di negara ini, perdana menteri merakamkan ucapan setulus penghargaan kepada mereka atas segala jasa dan pengorbanan mendidik anak bangsa dan menyumbang kepada kemajuan negara.

Katanya tanggal 16 Mei setiap tahun merupakan tarikh keramat yang amat besar maknanya kepada semua yang bergelar guru dan kebiasaannya disambut meriah dengan pelbagai aktiviti di sekolah selain dihujani ucapan menerusi Whatsapp, Twitter atau Instagram daripada anak murid.

Namun tahun ini, beliau berkata suasana sambutan Hari Guru jauh berbeza kerana negara masih lagi menangani penularan wabak COVID-19.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna hari istimewa untuk guru tidak dapat diraikan. Sumbangan, jasa, bakti dan pengorbanan guru selama ini tidak akan pernah dilupakan, bahkan akan terus dihargai dan tetap subur dalam hati sanubari kita semua,” katanya. – BERNAMA

(Visited 217 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button