Politik

Bogel membogel, sumpah laknat: Pergi check kesihatan Mental – Ibrahim Ali

PRESIDEN parti PUTRA Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali menyatakan bahawa situasi bogel dan membogelkan sesama politikus dan mengangkat sumpah laknat umpama suatu yang biasa-biasa sahaja.

Bahkan, kata Ibrahim, politik negara pada kacamata beliau sebagai salah seorang politikus berpengalaman adalah semakin parah dan memalukan.

Beliau bertanya, dimanakah umat Islam Malaysia mahu meletak muka dan menghindari daripada keaiban disebabkan oleh senario politik yang sedang melanda negara hari ini?

Kata Ibrahim, Presiden partis PPBM (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan kepada umum, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi datang berjumpa beliau dengan membawa fail bertimbun minta tolong selesaikan kes mahkamahnya.

“Waduh..  Malunya.  Presiden Parti Keramat, Mahiadin sudah bogelkan Zahid,” kata Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini kepada SUARA MERDEKA.


Ibrahim berkata, Zahid menerima tempelak Mahiadin dan bertindak balas dengan cara menangkisnya.

Zahid berkata beliau sanggup bersumpah laknat bagi menafikan bahawa tuduhan Mahiadin adalah fitnah dan tidak benar sama sekali, kata Ibrahim dalam kenyataan yang sama.

Kata Ibrahim, “Waduh… Siapakah yang berkata benar?”

Menurut Ibrahim lagi, sebelum ini mereka berdua, Muhyiddin dan Zahid, adalah kawan rapat, kawan seperjuangan dan kawan sesama dalam Parti Keramat.

“Apabila sudah bergaduh maka membogellah antara satu sama lain dalam keadaan rakyat masih tenat akibat Covid-19 dan pengurusan ekonomi yang gagal akibat salah guna kuasa dan rasuah.

“Rakyat merintih dan menangis manakala pemimpin asyik bertengkar sampai bogel membogel. Tidak adakah rasa malu dan di manakah nilai-nilai  ajaran Islam serta  adat budaya bangsa?,” soal Ibrahim dalam kenyataannya itu.

Kata Ibrahim, sejak akhir-akhir ini berita-berita jijik melibatkan banyak pemimpin bertaraf perdana menteri, menteri dan menteri besar yang pada kaca mata beliau, malu dan memalukan.

Tambah Ibrahim, mungkinkah sudah tiba masanya sebelum keadaan semakin melarat, ada dalam kalangan ahli politik buat pemeriksaan kesihatan mental dan berubat di Hopsital Pakar Jiwa (Tanjong Rambutan) di Tampoi, Johor.

“Tahap kesihatan mental pemimpin-pemimpin politik di negara kini amat dikhuatiri dalam keadaan kritikal. Ini diukur daripada kenyataan-kenyataan dan ucapan-ucapan serta pelbagai pendedahan melalui media sosial.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia seolah-olah sudah berada pada tahap amat serius dan akan menjejaskan lagi kesejahteraan rakyat yang sudah pun tenat dan pastinya akan lebih tenat,” kata beliau.

Kata Ibrahim, “Wahai pemimpin-pemimpin Melayu, berhentilah memalukan bangsa sendiri. Perebutan kuasa ini tidak memberi apa-apa keuntungan pun kepada rakyat.

“Berehatlah demi kesihatan diri dan kasihanilah rakyat. Terimalah nasihat dan keluhan ikhlas ini iaitu daripada seorang pejuang politik yang ada harga diri dan maruah.” – SM

(Visited 736 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button