Sukan

BAM tunggu jawapan Misbun

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) ternyata serius supaya isu dengan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek tidak lagi timbul pada masa akan datang apabila sudah mengemukakan surat tawaran kepadanya, petang semalam.

Situasi terbabit disahkan pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai yang memaklumkan pihaknya sudah menghantar surat tawaran kepada Misbun selaku Pengarah Pembangunan Remaja sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya menunggu jawapan daripada Misbun sama ada menerima atau menolak tawaran terbabit sebelum mengeluarkan kenyataan lanjut berkaitan situasi terbabit.

“Kami sudah hantar surat tawaran petang semalam menerusi emel dan WhatsApp.

“Malah saya ada bercakap dengan Datuk Misbun berkaitan tawaran itu sebelum beliau meminta Nor Kamal Ahmad (pengurus peribadi Misbun) mengambil surat di BAM.

“Datuk Misbun tak ada bercakap lebih lanjut mengenai tawaran itu. Cuma sekarang kami tunggu saja jawapan daripada beliau,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan, Misbun mahu menunggu surat rasmi daripada badan induk itu terlebih dahulu sebelum memberi sebarang komen lanjut.

Sebelum ini, Misbun ‘terasa hati’ dengan tindakan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang seolah-olah lepas tangan selepas jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memutuskan menamatkan kontraknya lebih awal.

Berikutan menjernihkan keadaan, Norza yang mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Misbun tampil membuat permohonan maaf sambil menjelaskan, wujud masalah komunikasi di antara kedua-dua pihak sehingga wujudnya konflik.

Malahan Norza berbesar hati menawarkan Misbun kembali menggalas tanggungjawab selaku Pengarah Pembangunan Remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini dan jika tidak berminat, pihaknya sedia bertemu dengan jurulatih itu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda supaya tiada pihak teraniaya. – SM

 

(Visited 44 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button