BeritaNasionalPolitik

Apa sudah jadi KL Kota Buku Dunia 2020?

Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan ‘KL Baca – Caring Through Reading’ oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), tetapi rakyat negara ini majoriti tidak sedar acara besar peringkat dunia bakal berlangsung tidak lama lagi.

Nasib baik ahli parlimen pembangkang membangkitkannya di Parlimen semalam. Jika tidak mungkin pemimpin kerajaan sendiri pasti tidak menyedari ada acara sebegitu besar dan jika ia gagal akan memalukan negara.

Ini bukan perkara main-main seperti warkah kekanda kepada adinda, tetapi pengiktirafan oleh UNESCO dan perlu dikendalikan secara profesional.

Sekali lagi kerajaan hari ini terlalu sibuk berpolitik sehingga benda sebesar begini ramai yang terlepas pandang. Sudahlah tahap penerbangan kita juga diturunkan kerana sikap acuh tidak acuh kerajaan hari ini.

Kempen ini sebenarnya sangat signifikan ketika masyarakat hari ini semakin malas membaca kerana terlalu banyak menghabiskan masa menghadap media sosial. Sepatutnya kempen digembleng sepenuhnya dari tahun ini dan bukan menunggu tahun hadapan.

Masih belum terlambat jika kerajaan cepat sedar dan menumpukan tenaga khusus kementerian dan menteri berkenaan.

Semalam di Parlimen menurut Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, sehingga kini masih tiada sebarang program khusus bagi meningkatkan promosi di peringkat domestik dan antarabangsa.

Nik Mohamad Abduh

Berikutan daripada itu, beliau meminta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan penyaluran peruntukan kepada Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020 tersebut.

“Jadi saya ingin bertanya di manakah peruntukan mengenai Kuala Lumpur Kota Buku Dunia 2020? Apakah program yang dirancang bagi merancakkan lagi pembacaan dalam kalangan rakyat dan menjadi tarikan oleh pihak luar?” soalnya.

Beliau membangkitkan perkara itu dalam perbahasan pertimbangan semula ke atas Rang Undang-undang Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Perbelanjaan 2020 di peringkat Jawatankuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di Dewan Rakyat, semalam dipetik Harakah Daily.

Dalam masa yang sama, beliau meminta kerajaan menyatakan kadar pembacaan rakyat Malaysia ketika ini dan langkah untuk meningkatkan lagi kesedaran membaca dalam kalangan rakyat negara ini.

Antara penumpuan yang diberikan kepada program tersebut adalah membaca dalam semua bentuk, pembangunan infrastruktur industri buku, inklusif dan akses digital dan pemberdayaan kanak-kanak melalui membaca.

Sementara acara dan aktiviti yang dianjurkan ialah pembinaan kota buku, kempen membaca kepada pengguna tren, peningkatan perkhidmatan dan capaian digital oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk Orang Kelainan Upaya.

Ia juga turut melibatkan fokus berkaitan perkhidmatan digital baharu kepada 12 perpustakaan di kawasan perumahan kos rendah di mana sambutan itu akan bermula pada 23 April 2020, iaitu Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia. 

Umum yakin dengan kemampuan pihak Perbadanan Kota Buku dalam memikul tanggungjawab ini, tetapi iltizam dan komitmed kerajaan yang kurang dikhuatiri akan mencacatkan acara peringkat antarabangsa ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button