fbpx
KebakaranNasional

135 pelajar perempuan MITIB dibenar pulang

SUSULAN kebakaran yang berlaku di Maahad Integrasi Tahfiz Istana Bandar (MITIB) di Banting, Selangor, kesemua 135 pelajar perempuan diarah pulang hari ini.

Arahan tersebut dikeluarkan pengurusan sekolah selepas tiga buah bilik asrama di tingkat tiga Blok A Ibn Kathir musnah dijilat api awal pagi tadi.

Kesemua pelajar perempuan diarah pulang bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara susulan blok tersebut dikosongkan bagi tujuan pemeriksaan.

“Kita buat keputusan membenarkan pelajar perempuan seramai 135 orang pulang ke rumah masing-masing sejak pukul 11 pagi tadi.

“Kebenaran pulang adalah untuk memastikan keselamatan mereka terjamin apabila semua bilik asrama di Blok A dan Blok B perlu dikosongkan.

BACA > Selepas sebulan, Malaysia catat 1 kes Covid-19 – Suara Merdeka

“Pihak penyelengara akan memeriksa pendawaian elektrik bagi mememastikan sama ada ia boleh digunakan ataupun tidak.

“Dalam tempoh lebih kurang seminggu, pemeriksaan terhadap keselamatan di Blok A dan B asrama perempuan akan diperiksa.

“Jika tiada masalah, Insha Allah pelajar dijangka boleh kembali ke sekolah pada minggu hadapan.

“Bagi bilik yang musnah, pelajar akan ditempatkan dahulu di kuaters guru yang terletak dalam kawasan sekolah.”

Demikian kata Pengetua MITIB, Abdul Halim Saljadi ketika ditemui wartawan Suara Merdeka hari ini.

Terdahulu, Suara Merdeka melaporkan sebuah maahad tahfiz terbakar awal pagi tadi.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan ekoran pelajar sudahpun meninggalkan bilik bagi menunaikan solat Subuh di surau.

BACA > Kerajaan digesa beri akses pendidikan kepada pelarian Rohingya – Suara Merdeka

Ketika tinjauan wartawan di sana tengah hari tadi, keseluruhan bumbung Blok A Ibn Kathir musnah teruk akibat insiden tersebut.

Malah, keseluruhan tingkat tiga bangunan tersebut tidak boleh digunakan sehingga kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Bagaimanapun, kebakaran tersebut dilaporkan tidak menjejaskan struktur utama bangunan asrama tiga tingkat itu dan kerja pembaikannya dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

Menurut beliau, kerja-kerja pembaikan akan dilakukan dengan bantuan kerajaan negeri.

ABDUL HALIM SALJADI

“Sejak pagi tadi, pihak sekolah menerima kehadiran wakil dan pegawai daripada beberapa jabatan termasuk pegawai daripada Pejabat Daerah Kuala Langat.

“Selain itu, beberapa wakil daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) , Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan beberapa wakil jabatan lain turut hadir.

BACA > Risiko pengulangan PKP : Warga asnaf disaran segera buka akaun bank – Raja Muda Perlis – Suara Merdeka

“Mereka memantau kerosakan yang berlaku akibat kebakaran dan memberikan kata-kata semangat kepada guru dan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Halim memaklumkan pelajar yang pulang ke rumah akan menjalani sesi pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian (online).

Kaedah pembelajaran itu tidak menjadi halangan bagi pelajar dan guru di situ selepas ia digunakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pelajar akan belajar secara online ketika berada di rumah bagi memastikan mereka tidak ketinggalan pelajaran.

“Takwin persekolahan juga masih lagi mengikut ketetapan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

BACA > 131 pelajar wanita selamat maahad tahfiz terbakar – Suara Merdeka

“Bagaimanapun, selepas insiden kebakaran, beberapa perkara perlu disesuaikan semula namun dijangka tidak akan menjejaskan perancangan pembelajaran asal,” ujarnya. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button