fbpx
Nasional

Selepas sebulan, Malaysia catat 1 kes Covid-19

HANYA satu kes Covid-19 dilaporkan hari ini. Ini kali kedua hanya satu kes harian dilaporkan sejak 1 Julai lepas.

Kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

Jumlah yang sembuh seramai 16 orang menjadikan kumulatif kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 ketika ini adalah 193 kes.

“KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana pencapaian ini sememangnya adalah hasil usaha dan kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat serta agensi terbabit dalam memainkan peranan masing-masing.

“KKM berharap masyarakat akan terus mengamalkan normal dan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kerajaan,” kata Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan.


KKM turut melaporkan tiada kes positif Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini.  Menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes.

Sementara itu KKM turut menafikan mengeluarkan sebarang arahan rasmi di media sosial mengenai arahan bagi ibu bapa dan pelajar yang telah bercuti di daerah Kubang Pasu, Kedah untuk menjalani saringan COVID-19 di Klinik Kesihatan yang berdekatan.

KKM sekali lagi mengingatkan individu yang perlu menjalani saringan Covid-19 adalah mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

Penduduk yang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran iaitu dalam radius satu kilometer daripada empat mukim di Kedan perlu menjalani saringan Covid-19.

Kawasan terbabit adalah radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu), Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu); Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap)

Mereka yang berkait rapat dengan kedai makan yang terbabit dalam Kluster PUI Sivagangga, misalnya relanggan atau orang yang singgah makan atau berurusan dengan kes indeks kluster atau dengan pekerja-pekerja di kedai makan tersebut dari 13 Julai 2020 sehingga 27 Julai 2020 juga perli menjalani ujian saringan Covid-19.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button