NasionalNegeri

YTSP Perlis anjur Anugerah Cemerlang kepada pelajar SPM 2021

YAYASAN Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis akan mengadakan majlis ‘Anugerah Cemerlang’ kepada pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2021 di Perlis pada 7 Mac ini di Kangar.

Sekaligus YTSP Perlis juga meneruskan kembali aktiviti rutin tahunan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang tidak dapat dilaksanakan secara fizikal sejak tiga tahun lalu akibat penularan wabak Covid-19.

Antaranya Program Titian Kasih Mega di sekolah-sekolah menengah negeri Perlis bermula dengan Parlimen Kangar pada pertengahan tahun ini, Kem Jati Diri Untuk Pelajar Tingkatan 4 pada 13-15 Jun serta Bengkel Kearah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang Untuk Pelajar Terbaik dan Cemerlang dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Negeri Perlis di Pulau Pinang pada 15-17 Ogos.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri sesi taklimat Perancangan Kalendar YTSP Perlis 2023 yang dipersembahkan oleh Setiausaha Kehormatnya, Datuk Johari Darus di Galeri DiRaja Arau.

Selain daripada itu, YTSP Perlis juga akan menjayakan program ‘Jalinan Kasih Eks PerBah’ di Sabah pada April depan, majlis ‘Sumbangan Bayi Lahir Tabung Putra Petri pada 26 September selain sedang mempertimbangkan untuk menganjurkan Majlis Makan Malam Amal pada minggu pertama bulan November nanti di ibu negara sempena Islamic Fashion Festival Kuala Lumpur 2023.

Dalam perkembangan lain baru-baru ini, pihak YTSP Perlis telah menerima sumbangan berjumlah RM50,000 daripada SHT Engineering Sdn Bhd yang dipersembahkan oleh Pengarah Urusannya Aiman Loh kepada Raja Muda dan disaksikan okeh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Ia bertujuan bagi mengukuhkan lagi dana tabung Pusat Autisme A-Heart Perlis yang bakal dibangunkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan mendapat kerjasama YTSP Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak lama lagi.

Pada kesempatan yang sama, diucapkan kepada puteri sulung Raja Muda, Yang Amat Mulia Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Yang Ke-28 pada hari ini 10 Februari dengan iringan doa semoga dilimpahi oleh Allah SWT dengan kesihatan serta kesejahteraan hidup yang terbaik sentiasa. – SM

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button