fbpx
Nasional

COVID-19: Hanya 16 kes baharu, tiada kematian

MALAYSIA mencatatkan kes harian terendah iaitu 16 kes sahaja yang positif Covid-19 hari ini. Daripada 16 kes baharu sembilan orang terdiri daripada warga asing dan tiga kes import manakala selebihnya membabitkan penularan tempatan.

Kes sembuh pula mencapai 77.5 peratus dengan seramai 110 orang lagi sembuh menjadikan jumlah keseluruhan sembuh adalah seramai 5,223 orang.

Sementara jumlah kes aktif adalah sebanyak 1,410 kes dengan 16 daripadanya dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi dan tiga daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, tiada kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kematian kekal 109 orang.

Sementara itu BERNAMA melaporkan Sarawak catat hari kedua berturut-turut tanpa kes baru COVID-19

Tiada kes baharu COVID-19 dicatatkan di Sarawak sejak dua hari lepas, sementara Bahagian Limbang yang terletak paling utara negeri ini menjadi kawasan terbaharu diisytiharkan zon hijau, apabila tiada sebarang kes positif penyakit itu dicatatkan di kawasan itu dalam tempoh 14 hari lepas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan hari ini turut melaporkan, terdapat enam kes sembuh dan discaj dari hospital, menjadikan secara keseluruhannya seramai 375 pesakit daripada 549 yang menerima rawatan, telah sembuh.

Dalam perkembangan lain, masa operasi bagi semua sektor ekonomi yang telah dibenarkan untuk beroperasi mulai hari ini adalah bermula dari jam 7 pagi hingga 10 malam.

“Untuk makluman sektor ekonomi yang telah dibuka, pemakluman adalah bertujuan menentukan supaya sektor-sektor yang telah beroperasi, dapat mengamalkan Garis Panduan dan SOP yang akan menyeimbangkan aktiviti ekonomi dan kesihatan.

“Manakala pasukan penguatkuasaan akan memantau dan membantu bagi melicinkan pelaksaan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Bagi operasi sektor perhotelan pula, menurut kenyataan itu, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak akan perkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam masa terdekat.

Berbanding negara jiran, Malaysia berada dalam landasan terbaik dalam membendung penularan wabak Covid-19.

Di Indonesia BERNAMA melaporkan sebanyak 16 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Indonesia kini meningkat kepada 1,007 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto berkata bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, berlaku tambahan 484 kes baharu, menjadikan kes positif kini 14,749.

“Sebanyak 31,147 pesakit masih lagi berada dalam pengawasan virus itu,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatatkan kematian tertinggi iaitu 443 kes, diikuti Jawa Timur (155 kes), Jawa Barat (98) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia. -SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button