Nasional

Pharmaniaga beri kerjasama R&D vaksin

PHARMANIAGA Berhad akan bekerja rapat dengan Institut Bioteknologi Nasional Malaysia (NIBM) dalam pelbagai bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berkaitan vaksin yang ingin dihasilkan oleh Malaysia.

 

Kerjasama ini telah ditandatangani dalam satu memorandum persefahaman (MoU) di antara Pusat Penyelidikan Pharmaniaga Sdn Bhd dan NIBM pada hari ini.

 

MoU itu telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Institut Agro-Bioteknologi Malaysia, NIBM, Dr Seetha Jaganathan King.

 

Perjanjian ini diumumkan kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob ketika pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Kebangsaan dan Institut Genom Vaksin Malaysia.

 

Datuk Zulkarnain berkata, kerjasama R&D antara kedua-dua pihak akan terus memacu usaha penting dalam industri farmaseutikal untuk membantu kerajaan melindungi kepentingan negara dengan membangunkan dan mengeluarkan vaksin secara tempatan untuk memenuhi keperluan rakyat.

 

“Malaysia telah bergantung kepada pengimportan vaksin kerana pada masa ini tiada vaksin manusia sedang dibangunkan dan dihasilkan secara tempatan.

 

“Yang paling dekat ialah ‘fill and finish’ pembuatan vaksin Sinovac Covid-19 oleh anak syarikat milik penuh kami, Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd (PLS).

 

“Oleh itu, dengan adanya pengalaman berharga kami dengan vaksin Sinovac Covid-19 kami akan melakukan kerjasama dengan NIBM dalam banyak bidang R&D dan latihan mengenai vaksin supaya Malaysia akan dapat membangunkan dan mengeluarkan pelbagai jenis vaksin untuk bayi, kanak-kanak dan orang dewasa dalam masa terdekat.

 

“Kami yakin yakin dengan hasil kerjasama ini memandangkan PRC mempunyai lebih 300 buah tenaga kerja saintifik profesional, dan ia telah membangunkan lebih daripada ubat 240 ubat generik yang kemudiannya dikeluarkan sendiri oleh kami untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

“Sememangnya, kerjasama ini akan menjadi satu lagi langkah ke arah membina kesiapsiagaan negara terhadap sebarang wabak pada masa hadapan, serta mengukuhkan rancangan Pharmaniaga untuk menubuhkan kilang pembuatan vaksin halal pertama di dunia di Malaysia,” katanya.

 

Pharmaniaga ialah pemegang pendaftaran produk dan pengedar tunggal vaksin Sinovac Covid-19 di Malaysia dan telah membekalkan 20.4 juta dos vaksin kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

 

Loji berteknologi EU yang diperakui, PLS mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan empat juta dos ‘fill and finish’ vaksin Sinovac Covid-19 sebulan dan pada masa ini membekalkan keperluan vaksin pasaran swasta.

 

Pharmaniaga ialah syarikat farmaseutikal terkemuka kepada kumpulan syarikat Boustead Holdings Berhad bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang menjadi pemegang saham utama syarikat. – SM

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button