KesihatanNasionalPenyakit

Kes penyakit seperti influenza dalam negara terkawal

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi jaminan bahawa kes penyakit seperti influenza dalam negara adalah terkawal.

Memetik laporan portal berita Malaysia Now, meskipun terdapat beberapa kluster melibatkan sekolah berasrama dikesan kes penyakit seperti influenza (ILI) namun kata Khairy, ia adalah terkawal.

Beliau berkata, orang ramai terutamanya ibu bapa tidak perlu bimbang berikutan penyakit tersebut adalah jangkitan biasa dan akan timbul dari semasa ke semasa selain pesakit hanya memerlukan pemantauan dan pengasingan diri sahaja.

“Kes influenza ini akan bertambah dari semasa ke semasa sebab perintah kawalan pergerakan sudah tiada. Kita mula kurangkan langkah kesihatan awam seperti penjarakan fizikal dan sebagainya, sudah pasti penyakit berjangkit meningkat.

“Itupun mungkin selama dua tahun lepas kes penyakit berkenaan menurun sebab kita dikurung di rumah dan ikuti langkah kesihatan awam tertentu, namun apa-apa pun ia masih lagi terkawal dan tiada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program saringan kesihatan Peka B40 semalam.

Beliau berkata, susulan itu tiada keperluan menutup sekolah pada masa ini selain pejabat kesihatan daerah akan sentiasa membuat penilaian risiko mengenai kes penyakit berjangkit berkenaan.

Khairy turut menjelaskan sekiranya kes penyakit terbabit sudah berada pada tahap membimbangkan setelah penilaian dibuat maka langkah-langkah tertentu akan dilaksanakan secepat mungkin.

“Namun, kes seperti influenza ini kes biasa dan bermusim yang akan datang dan pergi, jadi tidak perlu terlalu risau,” katanya.

Jumaat lepas, media melaporkan Jabatan Kesihatan Selangor mengesan peningkatan kes jangkitan ILI di institusi pendidikan khususnya di sekolah berasrama sejak dua minggu lepas. – SM

 

(Visited 194 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button