Berita

Air tasik Empangan Pedu surut, kubur lama ‘muncul’ kembali

KUALA NERANG, 19 Feb  — Tanah perkuburan lama dipercayai berusia 100 tahun yang sebelum ini berada di dasar tasik Empangan Pedu, di sini, ‘muncul’ kembali selepas air empangan itu surut susulan cuaca panas dan kemarau yang melanda Kedah sejak Disember lepas.

Kawasan perkuburan itu sebelum ini ditenggelamkan sebagai sebahagian daripada kawasan Empangan Pedu yang dibina pada 1969, bertujuan membekalkan air ke Kawasan Muda bagi membolehkan tanaman padi dua kali setahun dijalankan.

Kali terakhir kubur lama tersebut kelihatan adalah pada 2016 ketika negara dilanda fenomena El Nino, yang turut menyebabkan air di empangan itu kering.

Imam Masjid Tong Pelu, Pedu, Mohd Khairi Idris, 54, berkata kira-kira 100 waris telah mengadakan kenduri tahlil dan bacaan Yasin, di sebuah pondok di empangan itu pada Jumaat lepas selepas perkuburan itu muncul, sejak dua minggu.

“Sebelum ini, ada sebahagian para waris mencadangkan tanah perkuburan ini dipindah ke tempat lain, namun Jabatan Mufti Negeri, melihat tiada keperluan untuk dilakukan kerana usia tanah perkuburan ini sudah melebihi 50 tahun.

“Pada 2006 pihak Majlis Daerah Padang Terap telah membina pagar di kawasan perkuburan seluas 0.3 hektar itu, bagi memastikan ia terpelihara terutama semasa air tasik kering,” katanya di sini, semalam.

Mohd Khairi berkata kemunculan kubur itu sekali gus memberi peluang kepada waris untuk menziarahi, walaupun kebanyakan kubur berkenaan tidak dapat dikenal pasti pemiliknya.

Tinjauan Bernama di kawasan perkuburan itu mendapati batu-batu nisan jelas kelihatan, selain kesan runtuhan telaga yang dipercayai menjadi sumber air kepada penduduk Kampung Mong Gajah, yang pernah berada di situ.

Sementara itu, seorang waris Sarimah Manas, 56, berkata datuknya merupakan antara individu yang disemadikan di tanah perkuburan itu.

“Ibu saya antara generasi terakhir yang tinggal di kampung berkenaan, sebelum penduduk kampung diarah berpindah untuk memberi laluan kepada projek empangan tersebut, yang siap dibina pada tahun 1969,” katanya.

— BERNAMA

(Visited 392 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button