Politik

UMNO tolak Norhizam Hassan Baktee jadi calon PRU-15

TIADA keperluan untuk UMNO Melaka untuk melamar bekas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Perkara tersebut ditegaskan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Ab. Rauf Yusoh bahawa UMNO menutup pintu rundingan dengan Norhizam yang mendapat jolokan YB Viral.

“Jika beliau (Norhizam) nak masuk UMNO, kita bersedia menerimanya namun untuk menjadi calon PRU-15 bertanding dalam mana-mana kawasan Parlimen, itu tidak mungkin terjadi.

“Kita mempunyai ahli parti yang berkebolehan untuk menjadi calon pada PRU-15 nanti kerana mereka sangat setia kepada parti dan bukan seperti Norhizam yang tidak setia dengan pucuk pimpinan kerajaan,” ujarnya.

Ab. Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bidara berkata, bukan sahaja UMNO menolaknya untuk menjadi calon PRU-15 malah parti lamanya DAP juga tidak berhasrat untuk menerima beliau kembali.

Menurutnya, DAP awal-awal lagi sudah berpendirian tegas sama sekali tidak akan menerima beliau kembali semula kepada DAP.

Sebelum ini, Norhizam Hassan berhasrat bertanding di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU-15 selepas mengambil kira khidmat “cemerlangnya” sebelum ini.

Beliau terpaksa mengakui hakikat perlu bergerak atas tiket parti kerana tidak mahu mengulangi episod kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, November tahun lalu selepas bertanding sebagai calon bebas.

Norhizam turut mendakwa dirinya telah “dipinang” oleh beberapa parti politik untuk menjadi ahli, sekali gus ditawarkan sebagai calon PRU15.

Pada PRN Melaka November lalu, Norhizam bertanding sebagai calon Bebas dan tewas apabila hanya meraih 1,218 undi, sekali gus gagal mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu. – SM

 

(Visited 466 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button