Politik

Rundingan terus: PH langgar manifesto tender terbuka

Pendedahan yang dibuat oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz bahawa sebanyak 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion diluluskan secara rundingan terus ketika pentadbiran PH menunjukkan parti itu sekali lagi melanggar Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 yang dibuat.

Ketua Penerangan Pas Kamarulzaman Mohamad berkata, adalah jelas slogan-slogan yang dimuatkan dalam manifesto ketika Pilihan Raya Umum-14 dalam meraih undi rakyat hanyalah retorik semata.

“Manifesto dalam memperjuangkan tender terbuka yang tercatat dalam buku harapan tidak ditunaikan bahkan digadai dengan kelulusan 101 projek bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

“Terkini, SPRM telah menyatakan komitmen dalam menyiasat secara menyeluruh jika ada unsur rasuah dan salahguna kuasa berhubung perkara ini.

“PAS percaya, rakyat Malaysia sudah membuka mata dan hati akan kelicikan dan pembohongan kerajaan dahulu, Pakatan Harapan,” kata Kamarulzaman.

Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 Buku Harapan Janji 23, menyatakan akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.

“Janji 23: Memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat:

“Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan Pakatan Harapan akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat.

“Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar.”

Dalam penjelasnya, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, Kabinet mengetahui projek-projek yang diluluskan melalui rundingan terus tersebut.

“Saya terbuka sekiranya YB nak berikan senarai itu tender-tender yang diberikan, itu bukan diberikan secara terbuka.

“Kalau kita lihat jumlah yang diberikan, secara tender terbuka jauh lebih besar dan ini tertakluk kepada syarat-syarat yang berhormat sebutkan tadi. Seperti yang disebutkan tadi, Ini juga diberikan di bawah kelulusan Kabinet dan juga peraturan yang sedia ada,” kata Guan Eng.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima beberapa memorandum daripada badan bukan kerajaan (NGO), berhubung isu pemberian secara rundingan terus 101 projek perolehan kerajaan, bernilai RM6.61 bilion.

SPRM akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara runding terus, semasa pemerintah kerajaan terdahulu.

“Satu kajian menyeluruh akan dibuat bagi menentukan sama ada wujud unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa berhubung perkara ini.

“SPRM menggesa semua pihak untuk memberikan ruang kepada suruhanjaya ini untuk meneliti perkara berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.-SM

(Visited 409 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button