Politik

Isu air: Rakyat ada hak bangkit, saman

RAKYAT mempunyai hak sebagai pengguna untuk bangkit mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebabkan gangguan bekalan air.

Gesaan itu dibuat, selepas gangguan bekalan air di negeri itu kerap berlaku dan penduduk di sana dikatakan jemu dengan masalah tersebut.

Rakyat juga digesa melihat pentadbiran di negara ini apabila isu air turut menyebabkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri bercanggah pendapat.

“Saya naik jemu dengan keadaan negara kita sekarang ini. Malaysia negara maju dalam kegilaan, maksudnya banyak benda tidak patut berlaku.

“Contohnya kes air, Peguam Negara (AG) buat kenyataan, MB (Menteri Besar) pula menyatakan pihak AG tidak mengambil tindakan.

“AG kata tuduhan tidak berasas, ini dua institusi tinggi. Seorang MB seorang lagi Peguam Negara, boleh bercanggah dalam perkara seperti ini.

“Ini ke cara kita mentadbir negara? Kegilaan ini sebab, kilang yang beroperasi secara haram sejak 2014, enam tahun kilang ini beroperasi haram.”

Demikian tegas Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menfailkan saman terhadap sebuah kilang Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd yang menyebabkan pencemaran air di Sungai Gong, Selangor.

Beliau bertindak demikian sebagai plaintif serta 17 orang lagi di Mahkamah Tinggi melalui tetuan Azam Aziz & Co. berhubung gangguan bekalan air di Lembah Klang dan Selangor.

Dalam penyataan saman tersebut, plaintif menyatakan tuntutan terhadap ganti rugi am, spesifik, teladan, kos dan sebarang relif lanjut lain yang dianggap wajar dan adil oleh pihak mahkamah.

Kata Ibrahim, saman tersebut juga difailkan selepas terlalu kerap gangguan bekalan air berlaku dan kali ini menyebabkan lebih sejuta pengguna terjejas.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kelewatan pihak penguatkuasa bertindak terhadap kilang terbabit.

“Bila berlaku tragedi ini, baharu pihak penguatkausaan ambil tindakan. Tetapi sebelum ini apa tanggungjawab mereka.

“Ada beratus kilang-kilang haram seumpama ini. Ada judi haram, pusat hiburan haram, apa hendak jadi dengan negara kita ini.

“Apa sudahnya? Ini yang dikatakan indah khabar dari rupa. Indahnya, Malaysia negara hebat, membangun.

“Tetapi dalaman negara ini, dari segi pelaksanaan undang-undang amat memalukan. Di mana kedaulatan undang-undang?” soalnya.

Selain itu, beliau juga menyuarakan keyakinan terhadap ketirisan yang mungkin berlaku akibat daripada pecemaran tersebut.

Justeru, saman yang dikemukakan dianggap beliau sebagai mesej kepada pihak kerajaan supaya serius dalam mengambil tindakan terhadap pesalah.

“Tetapi puncanya saya percaya ialah kerana ketirisan. Bukan hendak buat tuduhan, tetapi bila ada ketirisan disitulah berlakunya rasuah.

“Lihat kedatangan pendatang asing. Berapa banyak pendatang asing menceroboh ke negara ini.

“Pencerobohan kawasan hutan tadahan air di Raub, Pahang.

“Wujudnya pusat-pusat judi haram dan semua ini kalau kita lihat berpunca daripada kegagalan penguatkuasaan.

“Tetapi kerajaan pusat atau negeri bercakap bak retorik semuanya ok, beres, dalam tindakan, perhatian.

“Beres.. nah 1,292 kawasan tak dapat air. Bercakap tak serupa bikin. Inilah betul-betul retorik.

“Jadi saya ambil tindakan ini sebagai salah seorang plaintif untuk menyampaikan mesej kepada pemimpin kerajaan pusat dan negeri,” tegasnya.

Terdahulu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pada Jumaat lalu.

Gangguan tersebut berpunca daripada pemberhentian operasi empat Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor dan Rantau Panjang susulan terdapat pencemaran pada suber air mentah.

Penutupan LRA itu menyebabkan sebanyak 1,292 kawasan mengalami gangguan bekalan air sehingga hari ini. – SM

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button