Politik

UMNO hampir tenggelam, kekalahan PRU-15 titik hitam yang kekal hantui parti

UMNO harus mengambil iktibar dari kekalahan yang teruk dalam PRU-15 yang lalu kerana peristiwa itu meninggalkan kesan yang sangat dalam kepada parti keramat itu.

Ujar Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, biar pun kekalahan itu sesuatu yang pahit namun ia perlu diinsafi kerana banyak perkara yang boleh dipelajari.

“Malam ini kita mesti berdepan dengan hakikat yang sangat pahit bahawa UMNO hampir tenggelam dan karam, dibadai taufan yang menggerunkan.

“Kita tewas dengan kekalahan yang amat menginsafkan. Kekalahan yang membuka mata, menggegar minda, merenyuk sanubari.

“Pilihanraya umum lepas adalah titik hitam yang akan selamanya menghantui UMNO. Ia tidak mungkin kita lupakan, selagi hayat dikandung badan,” katanya.

Mohamad Hasan berkata demikian ketika berucap dalam Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Wanita, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan.

Turut hadir, Naib-Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Selaku Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan berpendapat biar pun dipukul hebat dengan penolakan secara besar-besaran orang Melayu, sesuatu perlu dilakukan demi survival parti.

“Pertama, mengapa kami membuat, keputusan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan. Apakah natijah, dan kesannya, kepada kebolehlangsungan UMNO, di masa hadapan.

“Dan kedua, bagaimana semua ini, akan menentukan, masa depan UMNO, dan bagaimana, kita akan menguruskan, arah baru parti ini. Apakah iltizam kita, untuk merawat, memulih, dan membangunkan semula, sang belahan jiwa kita, parti UMNO yang disayangi,” katanya. – SM

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button