Politik

Rakyat diseret ke dalam PRN Melaka berpunca pertelingkahan pemimpin UMNO

AYER KEROH: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terjadi susulan pertelingkahan antara pihak yang sama sekali gus mengheret rakyat di negeri itu dalam kesusahan dan penderitaan, tegas Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menurut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, berikutan PRN Melaka juga, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada jalan lain selain daripada mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang sedikit sebanyak membebankan rakyat di negeri ini.
atijah daripada pertelingkahan sesama sendiri juga, Wan Saiful berkata, rakyat Melaka berhak mendapat kestabilan dan mengharapkan mereka dapat menzahirkan sokongan besar kepada Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
“Kita faham sebab sebenarnya SOP untuk memastikan rakyat terlindung daripada pandemik COVID-19. Pilihan raya ini bukan kita hendak, ini berlaku apabila ada pihak bergaduh sama sendiri dalam kerajaan negeri.
“Pertelingkahan mereka menyebabkan kita semua terpaksa menanggung kesan dan terpaksa diadakan pilihan raya negeri. Bukan kita (PN)… yang sebabkan kesukaran dan cabaran dalam negeri ini, ada pihak lain,” katanya lagi.
Wan Saiful dipercayai merujuk kepada tindakan empat orang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada UMNO Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan yang menarik sokongan terhadap Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sehingga mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada PRN 20 November ini, Idris, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka akan bertanding di DUN Asahan di bawah tiket PKR-PH, manakala Nor Azman di bawah Amanah-PH.
Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan PN akan bekerjasama dengan pakatan lain untuk membentuk kerajaan negeri, Wan Saiful berkata, fokus utama mereka ketika ini ialah memenangi kerusi DUN sebanyak mungkin di Melaka dalam PRN itu.
“Pertama sekali saya harap rakyat beri undi sepenuhnya kepada Perikatan Nasional. Sebabnya kita perlukan kestabilan dalam kerajaan. Lihat apa yang berlaku (dahulu) apabila bilangan majoriti tidak dijaga.
“Akibat daripada situasi sebegitu, majoriti sangat tipis (sehingga) berlaku PRN. Kita harap rakyat ambil iktibar daripada apa yang berlaku sebelum ini dan pilih Perikatan Nasional supaya boleh bentuk sebuah kerajaan yang kuat dari segi majoriti,” katanya lagi.
Wan Saiful berkata, sekiranya jumlah kerusi yang dimenangi tidak mencapai sasaran, baru mereka akan membincangkan langkah seterusnya.
(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button