Berita GajetGajetUlasan

Khidmat penstriman, iklan digital dijangka naik harga awal Mac

HARGA dibayar pengguna untuk perkhidmatan penstriman dan iklan digital dijangka meningkat pada awal Mac, apabila kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 2% berkuat kuasa, menurut ahli ekonomi.

“Ini akan menjejaskan harga ditawarkan syarikat penstriman dan lazimnya ini tidak melibatkan syarikat kecil,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito.

“Kos langganan biasanya lebih kurang sama di negara berbeza kerana menggunakan ciri umum sama, contohnya dolar AS.

“Bagi syarikat yang beroperasi di negara berbeza, cukai tempatan ditambah kepada harga asas,” katanya.

Ferlito berkata, keadaan akan menjadi terlalu rumit jika syarikat antarabangsa menyerap cukai di segelintir negara semata-mata untuk mengekalkan perkhidmatan mereka pada kadar harga tertentu.

Disebabkan itu, beliau menjangka harga penstriman dan perkhidmatan digital lain akan meningkat.

Dalam notis di laman web cukai digital, MySToDS, Jabatan Kastam mengumumkan kadar cukai dikenakan terhadap perkhidmatan digital akan dinaikkan daripada 6% kepada 8% pada 1 Mac, susulan kenaikan SST yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober lalu.

Cukai digital yang berkuat kuasa 1 Jan 2020 menyaksikan levi 6% dikenakan terhadap perkhidmatan dalam talian import, termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital.

Ketika itu, The Star melaporkan 126 perkhidmatan digital asing termasuk Google, Netflix, Spotify dan Airbnb, telah mendaftar dengan Jabatan Kastam bagi mengutip serta membayar cukai berkenaan.

Veerinderjeet Singh, naib pengerusi Suruhanjaya Cukai Global Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) berkata, secara teorinya, cukai itu hanya akan menyaksikan sedikit kenaikan bersamaan tambahan 2% yang dikenakan ke atas pengguna, tetapi dalam sesetengah kes, kesan keseluruhan cukai itu mungkin menyebabkan syarikat turut menaikkan harga mereka.

“Itulah kesan domino cukai perkhidmatan kerana dikenakan terhadap pelbagai jenis perkhidmatan dan segelintir syarikat menggunakan pelbagai perkhidmatan.”

Beliau berkata, pedagang dan syarikat juga mungkin menaikkan harga akibat kenaikan kos pengeluaran dan lain-lain.

“Mereka kini berdepan kenaikan harga kerana inflasi dan kesan rantaian bekalan mengakibatkan semua kos lain turut meningkat,” katanya.  – SM 

Artikel berkaitan > Cukai digital pada kadar 6% bermula Januari

(Visited 438 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button