Nasional

Tubuh sekretariat tangani isu kos sara hidup rakyat – Salahuddin Ayub

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Ekonomi akan menubuhkan satu sekretariat tetap bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, sekretariat itu akan merangka pelan tindakan komprehensif merangkumi pelan jangka pendek dan panjang bagi menangani isu berkenaan.

“KPDN sedar untuk usaha meningkatkan kos sara hidup ini, kita tidak boleh bekerja bersendirian, kerana isu kos sara hidup adalah agenda nasional.

“Jadi, kita bersetuju mewujudkan sekretariat tetap dua kementerian ini, yang akan pada bila-bila masa mengadakan mesyuarat, pertemuan, libat urus, seminar, bengkel dan seumpamanya supaya dapat bergerak ke depan dengan lebih efisien,” katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berkata, penubuhan sekretariat itu diputuskan selepas mesyuarat hampir dua jam antaranya bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di kementeriannya, hari ini.

“Selain pembabitan dua kementerian ini, langkah seterusnya adalah mengadakan libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFs), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan 11 kementerian yang ada dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

“Ini bagi menjayakan rancangan melahirkan satu pelan tindakan yang strategik untuk menangani kos sara hidup,” katanya.

Salahuddin berkata, pihaknya sudah merangka pelan jangka pendek dan panjang, antaranya berkaitan pertukaran data, melihat kepada kumpulan fokus dan dasar contohnya pemberian subsidi serta pendidikan yang lebih berfokus kepada pengguna.

“Ini bagi membolehkan kita saling berinteraksi supaya tidak ada salah faham komunikasi antara pihak berkaitan termasuk KPDN dan rakyat dalam kita berusaha tingkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada sekretariat berkenaan akan menggantikan fungsi dan tugas Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

“Sekretariat itu akan diketuai ketua setiausaha (KSU) masing-masing, KSU KPDN dan KSU Kementerian Ekonomi, selain turut disertai Jabatan Statistik dan Unit Perancang Ekonomi (EPU),” katanya.

Bagaimanapun, Salahuddin tidak memberitahu bila sekretariat tetap itu akan diwujudkan dan berfungsi secara rasmi.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya mendapat maklum balas daripada MAFs yang bekalan makanan sehingga perayaan Krismas mencukupi.

“KPDN akan terus pantau kestabilan barangan di pasaran, seterusnya memantau skim harga kawalan perayaan Krismas yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya. – SM

(Visited 224 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button