Nasional

Bersihkan masjid dan surau dari jangkitan

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama masjid dan semua surau yang melaksanakan solat Jumaat di Wilayah Persekutuan giat melakukan aktiviti dan kerja pembersihan serta proses nyah jangkitan dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19 di negara ini.

JAWI dalam satu kenyataan berkata setakat ini, sebanyak 61 masjid dan 29 surau Jumaat telah melalui proses tersebut yang bermula pada 18 Mac lepas dan akan dilaksanakan secara berterusan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kerja-kerja nyah jangkitan ini akan melibatkan 88 masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan serta seluruh surau Jumaat yang berdaftar dengan JAWI,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, JAWI turut memastikan sepanjang proses nyah jangkitan dijalankan, semua yang terlibat mematuhi dan menggunakan peralatan yang sesuai berpandukan nasihat dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Proses ini amat penting demi memastikan kebersihan kawasan persekitaran masjid dan surau yang berkemungkinan telah terdedah kepada virus COVID-19 memandangkan institusi ini sebelumnya menjadi tempat berkumpul masyarakat untuk menunaikan solat berjemaah serta aktiviti-aktiviti pengimarahan yang lain,” jelas kenyataan itu.

Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula 18 Mac sehingga 31 Mac bagi membendung penularan COVID-19 dalam negara. – BERNAMA

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button