Politik

Undi percaya pentadbiran Anwar bakal lulus walaupun tanpa MoU

SAYA penuh yakin ahli-ahli parlimen negara ini majoriti matang, apatah lagi dalam menentukan hala tuju negara.

Justeru keyakinan itu meletakkan rasa yakin bahawa mereka akan menyokong undi percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, walaupun tanpa perjanjian ala kuku besi dimeterai.

Tidak perlu mengugut melucutkan jawatan ahli parlimen jika tidak menyokong Anwar dan Zahid, bagi menekan para ahli parlimen di dalam Kerajaan Perpaduan.

Tidak ada sebab untuk mereka untuk tidak menyokong, kerana kerajaan baharu sahaja dibentuk. Ibarat bayi yang baru lahir, tiada rasa benci atau kekecewaan yang hadir.

Apabila pentadbiran ini berjalan lebih lama kelak barulah akan timbul tidak keyakinan kepada Anwar dan Zahid.

Ahli Parlimen dari Sarawak, contohnya sangat bijak membuat percaturan dan sentiasa kompak dalam memberi tekanan kepada kerajaan Persekutuan dalam memenuhi tuntutan mereka.

Apabila tuntutan merek tidak dipenuhi, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pastinya tidak teragak-agak untuk menarik kembali sokongan yang diberi.

Bahkan rakan karib Anwar dan Zahid iaitu DAP sendiri akan menarik sokongan jika merasakan kedudukan mereka terancam.

Ini berlaku semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh selepas 22 bulan memerintah, apabila DAP menarik sokongan daripada Tun Dr. Mahathir selaku perdana menteri.

Selepas itu barulah timbul kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin memerintah hingga habis penggal, dengan diganti oleh Datuk Ismail Sabry Yaakob pada penghujungnya.

Muhyiddin dan Ismail berjaya mengekalkan kerajaan hanya dengan perjanjian adil dengan pembangkang iaitu secara sukarela dan bukannya dengan mengugut.

Cuma pilihan raya diadakan awal sedikit apabila Zahid sendiri menjaja perpecahan dan bakal menghentikan sokongan, bahkan memecat Ismail jika parlimen tidak dibubar awal.

Umum sedar bahawa ia semata-mata untuk kepentingan peribadi, walaupun Zahid cuba berselindung di sebalik fatamorgana, termasuk bagi memastikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN).

Kelemahan Ismail yang tidak mampu menghadapi tekanan dan tertipu dengan helah itu, apatah lagi beliau dijanjikan poster boy dan akan terus menjadi perdana menteri selepas pilihan raya, maka jadilah beliau sebagai mangsa, walaupun semua sudah maklum jerangkap samar itu, kecuali Ismail dan pasukannya.

Mungkin Ismail terlalu jujur dan kebaikan itu menjadi kelemahan beliau. Berbanding Zahid dan Anwar yang licik.

Dek kerana menganggap ahli parlimen lain juga selicik mereka, maka dirangkalah perjanjian yang tidak berperlembagaan itu.

Apa juga situasinya, hari ini adalah hari Anwar dan Zahid, manakala ke hadapan belum tentu.

(Visited 448 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button