Travel

Selain Padang Besar, Ini Antara 9 Lokasi Menarik Jika Melawat Perlis!

Menjadi sempadan meliputi wilayah Satun dan Songkhla Thailand, Perlis yang terletak di bahagian utara pantai barat Semenanjung Malaysia merupakan antara negeri yang mempunyai banyak tempat yang menarik untuk dilawati. Ayuh kita lihat antara tempat yang disenaraikan.

1. Taman Ular dan Reptilia Perlis

Taman yang terletak di Kangar ini merupakan taman ular terbesar di Malaysia. Merupakan destinasi pelancongan yang popular, taman ini menempatkan pelbagai spesies ular dari luar negara seperti ular sawa, ular tedung selar dan ular kapak. Di sini juga terdapat lebih 150 ekor ular daripada 34 spesies. Tempat ini sangat sesuai buat mereka yang gemarkan ular.

Selain itu, tarikan terbaru yang ada di taman ini ialah ladang bunga matahari. Bagi pencinta bunga matahari anda tidak perlu lagi ke negara jiran hanya untuk menikmati keindahan flora hanya perlu ke Perlis sahaja.

2. Empangan Timah Tasoh

Empangan utama bagi negeri Perlis ini hanya terletak 17 km ke utara bandar Kangar yang terletak dalam mukim Beseri. Empangan buatan yang menjadi pilihan ramai ini terkenal dengan keindahan panoramanya yang cantik dan setiasa membuatkan orang ramai terpukau dengan kejadian alam di situ. Nama empangan ini juga unik kerana ianya diambil sempena nama dan tempat pertemuan dua batang sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh.

3. Lebuhraya Chuping – Padang Besar

Lebuhraya yang dahulunya hanyalah dikenali sebagai ladang tebu kini telah digantikan dengan tanaman getah dan kenaf. Kawasan ini menjadi  popular buat pengunjung bergambar dan mengambil video. Selain itu, kawasan ini juga sesuai bagi aktiviti memerhati burung dan mencerap bintang.

4. Canopy Walk FRIM Mata Ayer

Canopy Walk yang terletak di kawasan Hutan Simpan Kekal Mata Ayer, Kaki Bukit, Perlis ini telah dibina untuk dijadikan kawasan penyelidikan flora dan fauna terutama sekali berkenaan pokok jati. Bagaimanapun, dalam masa yang sama ianya turut dijadikan kawasan ekopelancongan.

5. Padang Besar

Jika datang ke Perlis, tak lengkap lah kalau anda tak berkunjung ke Padang Besar. Lokasinya yang terletak di antara sempadan Malaysia-Thailand ini merupakan kawasan bebas cukai dan syurga membeli-belah buat semua orang. Selain shopping, anda juga boleh mencuba pelbagai makanan-makanan yang unik dan menarik yang terdapat di kawasan ini.

6. Hutan Lipur Bukit Ayer

Kawasan ini merupakan kawasan hutan semulajadi yang sesuai dan menarik bagi menjalankan pelbagai aktiviti riadah. Terletak hanya 12 km dari bandar Kangar, tempat ini juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti pusat penerangan, chalet, tapak perkhemahan, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan parking lot kereta. Air sungainya yang jernih dan dingin serta panorama hutan tropika dan air terjun yang indah menjadikan tempat ini satu lokasi ideal untuk dikunjungi.

7. Masjid Al Hussain, Kuala Perlis

Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Terapung ini terletak berhampiran jeti Kuala Perlis. Dibina di tepi pantai Kuala Perlis dan menghadap laut Selat Melaka, ia menjanjikan pemandangan yang sangat indah untuk dinikmati lebih-lebih lagi bila tibanya waktu senja. Pemandangan sunset yang indah di kawasan masjid tersebut sering menjadi pilihan para jurukamera untuk menangkap gambar. Selain itu, masjid ini juga boleh dilawati oleh orang bukan Islam dan ianya tidak terhad kepada orang Islam sahaja.

8. Gua Kelam

Gua Kelam ini merupakan antara gua yang terkenal di Malaysia. Merupakan gua batu kapur tertua di Malaysia, terdapat juga terowong semula jadi sepanjang 370 meter di dalamnya Selain itu, jambatan gantung yang berada di dalam gua turut menjadi tumpuan utama pelancong di negeri itu. Kementerian pelancongan juga bercadang untuk menjadikan tempat ini sebagai pusat pelancongan utama.

Gua ini dahulunya terkenal dengan lombong menghasilkan bijih yang bermutu tinggi. Nama Gua Kelam ini juga bersempena dengan keadaannya di mana kedudukannya di kaki bukit dan suasana kelam yang sentiasa menyelubungi gua ini.

9. Puncak Wang Kelian

Wang Kelian yang terletak di bahagian utara Perlis ini juga sering menjadi tumpuan utama pelancong dan kaki pendaki. Berada di 40 km dari Kangar, Wang Kelian berada di kaki Banjaran Nakawan dan dikelilingi oleh bukit-bukit dan sangkapan batu kapur. Puncak Wang Kelian yang sering didaki ini juga menjanjikan pemandangan yang indah ketika berada di puncak terutamanya pada waktu senja dan matahari terbit.

Tempat ini menjadi tumpuan disebabkan oleh pasar minggunya yang melintasi sempadan Malaysia Thailand dan checkpoint Thailand di gelar Wang Prachan hanya terletak 32 km dari Satun.

10. Nat Pokok Getah

Nat Pokok Getah merupakan pasar hari yang sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan jika dibandingkan dengan pasar hari yang lain. Nat yang membawa maksud pasar hari itu diberi nama sebagai Nat Pokok Getah kerana ianya diadakan di dalam kawasan kebun getah. Pasar ini hanya dibuka pada hari Jumaat dan Ahad, bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Apa yang menarik perhatian lagi, di sini banyak dijual barangan terpakai seperti pasar karat. Bagi peminat peminat barang antik, di sini anda boleh dapatkan apa sahaja yang limited edition, tetapi perlu cepat.

Apa lagi! Dah tak ada idea ingin ke mana selagi border belum dibuka? Perlis adalah salah satu negeri yang patut ada dalam senarai tempat untuk anda kunjungi.

Sumber: Oh Bulan

(Visited 1,393 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button