Rencah HidupTravel

Bukan sekadar cerita getir perih media, tetapi budaya dan kesengsaraan

oleh MONALITA

Apakah makanan tradisi rakyat Somalia? Dah kenapa tanya tentang makanan tradisi? Ini kan novel kisah liku perjalanan barisan hadapan petugas media di medan perang.

Ini kan novel tentang pengalaman mereka mendepani cabaran geografi dan demografi yang berbeza. Jika itu tanggapan anda, maka haruslah anda segera mendapatkan novel ini.

Ya, ia kisah tentang getir perih para wartawan dan jurukamera mendapatkan maklumat sahih secara terus tentang dunia di sebelah sana. Meskipun dunia ditakrifkan tanpa sempadan, kita masih lagi kadang-kadang disempitkan oleh takrifan dan olahan sesuka hati tangan ghaib di belakang kuasa media dunia.

Maka, hadirlah mereka mempertaruh raga dan jiwa untuk membentangkan kebenaran.

Pembacaan saya banyak kali terhenti disebabkan banyaknya maklumat yang hendak dikongsi dengan anak-anak. Agaknya budak-budak ni pun bosan dengan maknya. Sekejap-sekejap, “korang tahu tak?” atau “tahu tak kenapa….”

Maklumat tentang dunia kewartawanan. Maklumat tentang sejarah negara yang terlibat. Peristiwa-peristiwa penting dan juga sejarah kewujudan negara itu sendiri.

Dunia kewartawanan sama seperti bidang tugasan lain, punya cabaran dan istimewanya tersendiri. Ada perkara-perkara belakang tabir yang terlihat mudah di layar kaca rupa-rupanya menagih ketekunan bukan sedikit daripada warga penggiatnya. Punya politik dan kecamuk di dalam gelasnya tersendiri yang terlihat indah di mata kita.

Penulis menyiapkan fakta sejarah rinci tentang banyak isu pada setiap bab. Contohnya; apabila menyebut tentang Gaza dan Palestin, tidak boleh tidak ia membuka juga sejarah bermulanya konflik penjarahan haram di tanah suci itu. Begitu juga pada beberapa bab mengenai Somalia.

Penulis menggarapkan banyak fakta penting mengenai negara tersebut yang merupakan ilmu baru buat pembaca.

Istimewanya, beberapa peristiwa dan individu penting turut berperanan mewarnakan novel Syurga di Bawah Langit Somalia ini. Di antaranya adalah pemimpin tertinggi Hamas, Ismail Haniyeh, ahli kabinet Somalia, Ahmad Hassan Adam dan beberapa orang VVIP dari Malaysia sendiri.

Novel ini sebenarnya menjanjikan juga pengalaman gastronomi yang sangat menarik buat pembaca. Penulis nampaknya begitu teliti memperincikan setiap resepi bagi setiap menu. Tinggal lagi tak ada gambarnya sahaja.

Malahan, Gaza walaupun dimomokkan dengan kegawatan perang di minda kita, masih lagi tak kalah dengan hidangan tradisi masing-masing. Begitu juga di Somalia dan beberapa lokasi lain.

Novel pertama Khairulanuar Yahaya ini merupakan kisah lapangan yang dialami beliau sendiri. Maka, ada ketikanya saat membacanya seolah-olah kita berada bersama-samanya melalui setiap detik itu.

Paling manis membaca saat pertemuan penulis dengan Ismail Haniyeh. Terasa kita sendiri yang dikalungkan mafla yang ditandatangani penggerak Hamas itu!

Pengalaman hebat ini, tak mungkin kita baca dan rasai jika tidak kerana pengorbanan mereka, petugas media. Lebih hebat lagi kerana mereka bersedia mengongsinya dengan khalayak.

Rebutlah peluang ini untuk menikmati setiap detik ini dengan mendapatkan novel ini. Paling penting ambillah pengajaran daripada setiap kata yang ditumpahkan oleh penulis di dalam novel ini.

“Kamu ada tanah air. Peliharalah tanah tumpah darah nenek moyang kamu. Jangan berpecah disebabkan perbezaan politik dan ideologi. Hati-hati dengan musuh yang kamu anggap kawan dan kawan yang kamu anggap musuh. Sekali kamu terlepas hak itu, air mata darah pun tidak dapat mengembalikannya.”
Dr. Abu Amra.

Al- Fatihah untuk almarhum Noramfaizul Mohd Nor.

Buku ini ada dijual sempena Pesta Buku Selangor di gerai Kasi Terbit Ptd. di booth bernombor P18 yang menjual lebih 120 judul buku pelbagai genre termasuk hartanah, kewangan, travelog dan kesihatan dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Pesta Buku Selangor berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) sehingga 12 Disember.

Selain itu boleh menghubungi penulis Khairulanuar di 016-2984547.-SM

(Visited 367 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button