fbpx
Nasional

Zahid tonggak kestabilan Perikatan Nasional

MAJORITI mengakui Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah perdana menteri yang hadir tepat pada waktu dan ketika.

Ketika negara berdepan dengan krisis wabak Covid-19 dan bakal berdepan dengan krisis ekonomi dan terdahulu krisis politik berpanjangan, Muhyiddin hadir meredakan suasana.

Suasana politik negara terus menjadi tenang, walaupun setelah berlaku ribut yang memusnahkan rumah tempat tinggal duduk kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga terbentuk kerajaan baharu Perikatan Nasional.

Nasional yang baharu dibentuk itu walaupun setakat ini berjaya dengan cemerlang dalam memerangi Covid-19 dan menangani kegetiran ekonomi yang terjejas ekoran penularan wabak itu.

Itulah yang membuktikan dan menjadikan kerajaan Perikatan Nasional atau PN berbeza dengan kerajaan PH. Kerajaan PN lebih prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan memastikan jentera kerajaan bergerak lancar tanpa diganggu oleh jemaah menteri yang tidak cekap.


Cekap dan tuntas dalam memastikan setiap permasalahan yang timbul ditangani segera dengan cara paling berkesan, lantaran kebanyakan menteri yang ada adalah dalam kalangan mereka yang pernah menganggotai jemaah menteri kerajaan baharu ini lebih lancar dan berfungsi.

Berfungsi dengan baik bermakna kerajaan baharu ini berada pada titik keseimbangan walaupun tidak jitu, cukup memastikan ia tidak tumbang atau terumbang-ambing dalam berdepan dengan badai politik.

Titik keseimbangan itu sebenarnya berada di tangan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Dalam wawancara dengan beliau baru-baru ini bersempena ulang tahun ke-74 UMNO Zahid berkali-kali menekankan bahawa beliau dan Muhyiddin telah mempunyai persefahaman bersama.

Datang dari latar belakang keluarga yang hampir sama iaitu mempunyai pegangan agama yang kuat membuatkan mereka berdua mudah duduk semeja dan mencapai kata sepakat.

Sikap Zahid yang tidak berlebih-lebih serta tidak mendesak Muhyiddin dalam berkerajaan memudahkan urusan perdana menteri itu.

Sikap sedemikian juga menyebabkan para pemimpin UMNO sendiri tidak terburu-buru untuk berebut jawatan di dalam kerajaan dan sebagainya tetapi lebih kepada merit individu itu sendiri.

Walaupun ada suara-suara yang tidak berpuas hati dengan situasi itu, tetapi sikap tenang Zahid meredakan situasi tersebut.

Zahid juga adalah arkitek yang membentuk Muafakat Nasional iaitu hasil kerjasama Barisan Nasional dengan Pas. Persefahaman Zahid dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berjaya membentuk kerjasama erat buat pertama kali setelah sekian lama dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas sering bermusuhan sekian lama.

Permusuhan dua buah parti itu menyaksikan perpecahan yang amat parah dalam kalangan orang Melayu, menyebabkan mereka berkedudukan minoriti dan tertekan walaupun Melayu, bumiputera merupakan penduduk majoriti negara ini.

Persefahaman Zahid, Muhyiddin dan Hadi inilah yang menjadi tonggak kerajaan PN dan titik keseimbangan itu berada pada Zahid.

Jika terdapat pemimpin yang berangan-angan merebut jawatan tiga yang utama ini, mereka harus bercermin apakah mampu memikul tanggungjawab yang berat itu.

Jika salah satu pihak menarik kembali persetujuan maka terbubarlah kerajaan yang baharu berusia beberapa bulan ini. – SM

 

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button