NasionalSukan

Pesilat Terengganu maut kena tendangan lawan

PESILAT yang menyertai acara di Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu meninggal dunia awal pagi tadi susulan rebah terkena tendangan lawannya dalam pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban, Negeri Sembilan.

Mangsa, Wan Muhammad Haikal, 21, dilaporkan tidak sedarkan diri selama 20 minit selepas terkena tendangan pihak peserta lawan  dan diberikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) namun disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi.

Kakak sulungnya, Wan Nor Haslinda berkata, keluarga diberitahu mengenai kejadian itu pada jam 5.30 petang semalam.

“Jurulatih hubungi bapa dan maklumkan yang arwah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.

“Tetapi saya tidak tahu lebih lanjut bagaimanakah kejadian itu berlaku dan kira-kira jam 2.30 pagi, kami dimaklumkan yang dia sudah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti,” katanya menurut Berita Harian.

Menurut laporan itu, Wan Muhammad adalah anak keempat daripada lima beradik dan berada di Seremban untuk pra Sukma sejak Jumaat lalu.

Ibu bapa serta adiknya kini berada di HTJ untuk menunggu bedah siasat selesai dan urusan menuntut jenazah.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Seremban berkata, mangsa tidak sedarkan diri selama 20 minit di lokasi dan diberikan rawatan CPR.

“Sebaik kami tiba, pasukan mengambil alih pesakit serta merta, terus mengaktifkan AED serta alat bantuan pernafasan BVM dan oksigen kepada pesakit itu.

“Selepas memberi satu renjatan melalui AED pesakit terus dibawa ke HTJ untuk rawatan susulan dan dalam masa sama CPR masih lagi diteruskan sehingga tiba di hospital,” katanya. – SM

BACA Tujuh pesilat cedera Proton Exora langgar belakang lori

(Visited 131 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button