Nasional

PKP semarak semangat bantu sesama masyarakat

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19 telah menjadikan titik tolak kepada semua pihak secara langsung maupun tidak langsung untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam membantu masyarakat yang berhadapan dengan keadaan tidak menentu dan panik.

Pengurusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah tidak ketinggalan mengambil pelbagai langkah proaktif dengan sebaik mungkin dalam meneruskan perkhidmatannya sejurus diumumkan PKP pada 18 Mac 2020. Demikian juga agensi-agensi mentadbir urus hal ehwal agama Islam bersama MAIPs yang lain seperti Jabatan Mufti Negeri Perlis dan juga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) yang telah bersama-sama Kerajaan Negeri mengambil segala tindakan pantas dan bermanfaat kepada rakyat dalam menangani kesan penularan wabak berkenaan di negeri ini.

Dirakamkan juga penghargaan kepada semua Ahli Majlis MAIPs dan semua ahli jawatankuasa kecilnya kerana sentiasa tampil ke hadapan memberikan pandangan dan panduan dengan bernas dalam menentukan segala dasar dan halatuju MAIPs sepanjang fasa PKP yang telah diumumkan Kerajaan adalah berimpak untuk masyarakat di negeri ini.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri ‘Program Hijrah Minda Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan ke 11 bagi tahun 2020’ yang diadakan di Masjid Al Hussain, Kuala Perlis pada petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Unit Kutipan dan Agihan, Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris Al-Habshee.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof.

Terdahulu, turut diadakan ialah ‘Ceramah Hijrah Minda’ oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis berjudul ‘Masyarakat Malaysia Bebas Dari Dadah’.

Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihah zakat MAIPs kepada seramai 10 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah masjid berkenaan.

Untuk rekod, Perlis telah memulakan langkah awal dengan membatalkan pelaksanaan solat Jumaat pada 13 Mac 2020 lalu. Walaupun pada awalnya ianya merupakan keputusan yang agak ’kontroversi’, namun ia akhirnya diterima baik oleh seluruh masyarakat, bahkan turut dilaksanakan oleh beberapa buah negara Arab dengan membatalkan solat Jumaat pada tarikh berkenaan.

Lebih awal lagi, satu program besar MAIPs, iaitu ”MAIPs’ Inspirational Talk” pada 10 Mac 2020 juga telah dibatalkan serta merta walaupun belum dilaksanakan PKP.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda terus mengingatkan rakyat di negeri ini supaya terus memakai pelitup muka terutama bagi mereka yang bergejala dan jika berada di kawasan orang ramai termasuk pengangkutan awam dan tempat membeli belah. – SM

(Visited 277 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button