fbpx
Politik

Syed Saddiq perlu seimbang idealis, realis – Mohd. Puad

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilihat semakin matang melangkah dalam karier politiknya, namun perlu seimbangkan idealis dan realis.

Beliau dilihat demikian apabila semakin berani berhadapan dengan realiti politik terutama dalam merealisasikan ideanya untuk menubuhkan parti baharu.

Demi merealisasikannya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu dilihat menyedari risiko yang diambil dan sanggup berhadapan dengannya.

Ia termasuklah risiko kehilangan kerusi dan segalanya serta bersedia untuk belajar menerimanya.

“Saya mendoakan misi Syed Saddiq akan berjaya.


“Apa pun saya tetap ada kebimbangan. Bimbang Syed Saddiq menjadi terlalu idealis tetapi tidak realis.

“Menjadi idealis memang penting sebab itu adalah prinsip.

“Tetapi Syed Saddiq patut seimbang antara idealis dan realis. Realiti sentiasa berubah. Ia berubah cepat terutama realiti politik.

“Namun Syed Saddiq sudah sedia menerima realiti politik bila berkata, ‘saya mungkin kehilangan kerusi saya, mungkin kehilangan segalanya. Saya akan belajar menerimanya’.”

Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pendirian dan pandangan Syed Saddiq yang mahu menubuhkan parti baharu.

Syed Saddiq sebelum ini menyuarakan pandangan mengenai pemimpin senior yang terlalu lama berada dalam arena politik.

Oleh demikian, ia menjadi alasan beliau tidak bersama dengan mentornya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam parti yang baharu ditubuhkan iaitu Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Sebaliknya, Syed Saddiq menyatakan hasrat untuk menubuhkan parti lain yang berteraskan kepada anak muda.

Dalam pada itu, Mohd. Puad turut menasihatkan beliau mengambil iktibar terhadap realiti politik yang pernah berlaku di Indonesia.

Ini kerana, kuasa menyebabkan seseorang tanpa mengira latar belakang agama ataupun profesional dalam pelbagai bidang tergadai prinsip perjuangannya.

“Di Indonesia terdapat sebuah parti dokongan anak muda yang Islamis, Parti Keadilan Sejahtera (PKS). Majoriti pemimpinnya adalah profesional seperti doktor dan peguam.

“Semasa tragedi Tsunami 2004, parti ini amat menonjol. Mereka menang banyak kerusi semasa Pemilu (Pemilihan Umum). Ramai juga yang menjadi Menteri.

“Tetapi setelah ada kuasa dan berjawatan Menteri, beberapa pemimpinnya terlibat rasuah. Justeru imej parti itu mula merosot.

“Sebab itu tidak kira siapa, muda atau tua, berpelajaran tinggi atau rendah, islamik atau sekular, bila ada kuasa dan jadi Menteri, prinsip perjuangan mudah tergadai,” nasihatnya.

Mohd. Puad turut mengingatkan Syed Saddiq mengenai cabararan ketika memiliki kuasa untuk membentuk dan melaksana dasar.

Ia termasuklah pengajaran yang beliau perlu ambil ketika menjadi menteri dahulu apabila dilanda pelbagai kontroversi.

“Syed Saddiq pernah menjadi Menteri. Dia juga dilanda berbagai kontroversi termasuk kehilangan wang tunai yang banyak dalam rumah.

“Dia juga banyak berkompromi dengan “politik tua” yang sekarang dia mahu lawan. Sudah tentu politik tua itu dia pelajari daripada sifunya Tun Mahathir.

“Sekarang bila hilang kuasa dia kembali mahu menjadi idealis iaitu politik “Muda Malaysia”.

“Justeru kepada Syed Saddiq, tidak ada beza ‘politik tua’ atau ‘politik muda’. Yang beza ialah orang tua dan orang muda. Mereka tetap sama kalau perangai sama

“Kadang kadang orang muda lagi kuat mengamalkan politik tua. Sebab itu, yang membezakan ialah sama ada berprinsip atau tidak berprinsip,” ujarnya.

(Visited 3 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button