Mahkamahpilihan

Syarikat hasil barang kulit didenda RM30,000

Sebuah syarikat penghasilan barangan kulit didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas dua kesalahan melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawaian ke perairan pedalaman tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas sebuah syarikat selaku orang kena saman (OKS) diwakili pengurusnya, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Peraturan 11(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Darmafikri dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti hujah pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mengenakan jumlah denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

OKS membayar denda RM30,000 bagi dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had Piawai B iaitu kandungan nitrogen ammonia dengan kepekatan 57 miligram perliter (mg/l) melebihi 20mg/l dibenarkan dan kadmium pada kepekatan 0.042 mg/l berbanding kadar 0.02 mg/l dibenarkan.

Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Merlimau, pada 22 Jun 2022, antara jam 10.45 pagi hingga 1.10 tengah hari.

Sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Peraturan 32, Peraturan sama, membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka membuat pemeriksaan penguatkuasaan ke atas premis syarikat terbabit yang menjalankan proses penghasilan barangan kulit.

Semasa siasatan didapati terdapat pelepasan efluen perindustrian di takat pelepasan akhir sistem pengolahan efluen di premis dan disalurkan terus ke pengairan pedalaman.

Sebanyak lima contoh efluen diambil dan dihantar ke Makmal Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Melaka untuk dianalisa dan disahkan premis melepaskan efluen perindustrian melebihi had Piawai B.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JAS yang berhujah bahawa kandungan bagi kedua-dua parameter ammoniakal Nitrogen dan logam Kadmium mempunyai kepekatan yang tinggi, iaitu melebihi 100 peratus standard yang dibenarkan dan boleh menjejaskan indeks kualiti air Sungai Merlimau dan aktiviti perikanan nelayan di sana.

Sementara itu, peguam Kent Tan Chow Teng merayu hukuman denda ringan atas alasan pengakuan OKS pada peringkat yang terawal amat menjimatkan kos dan masa mahkamah dan pihak yang lain.

“OKS amat prihatin terhadap sisa buangan mengandungi pelbagai bahan kimia berbahaya kepada alam sekitar hasil keluaran kilang OKS dan melakukan ujian berkala di dalam makmal di kilang serta menghantarnya ke makmal Hiflow Environmental Services Sdn Bhd sejak 4 Januari 2019.

“Selain itu OKS juga akan memasang kemudahan ‘Skidded Filtration System’ bernilai RM542,000 di premis syarikat bagi menapis sisa buangan dan mengurangkan pencemaran,” katanya. – SM

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button