Nasionalpilihan

Taktik jual diesel subsidi cara runcit tumpas

Kegiatan sebuah premis dijadikan stesen minyak sementara menjalankan aktiviti penjualan diesel bersubsidi secara haram kepada pihak industri di Taman IKS Paya Rumput dekat sini berjaya ditumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman malam tadi.

Dalam satu serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi empat suspek berusia antara 20-an hingga 40-an berjaya ditahan.

Polis juga turut merampas kira-kira 25,500 liter bahan api itu, lori dan pelbagai peralatan mengepam keseluruhan dianggarkan bernilai RM320,000.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar berkata, pihak polis menyerahkan kes berkenaan kepada KPDN untuk tindakan lanjut kira-kira pukul 11.00 pagi tadi.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati ia merupakan satu modus operandi terbaru sindiket berkenaan menggunakan pakai dua premis di mana salah satunya dijadikan gudang penyimpanan.

Jelasnya lagi, satu lagi premis kosong pula dijadikan seperti stesen minyak sementara di mana pembeli perlu datang membawa lori sebelum minyak diesel bersubsidi itu dipam masuk ke dalam tangki penyimpanan.

“Ini adalah modus operandi pertama di Melaka apabila pihak sindiket menjual bahan api itu secara runcit dan bukan lagi menggunakan lori industri seperti lazimnya.

“Terdapat sedikit kelainan pada serbuan kali ini apabila sindiket tidak lagi keluar menghantar minyak sebaliknya lori industri akan datang ke premis ini untuk mengisi minyak diesel pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

“Sindiket ini masih baru lagi dalam lingkungan dua atau tiga bulan beroperasi di dua premis yang dilengkapi dengan beberapa tangki simpanan,” ujarnya kepada pemberita di sini hari ini.

Norena berkata, empat suspek yang ditahan adalah warga tempatan yang merupakan pekerja kepada sindiket berkenaan dengan menjalankan aktiviti menjual dan mengepam minyak diesel kepada pembeli yang dipercayai daripada pihak industri.

Menurutnya, sindiket berkenaan dipercayai membeli minyak diesel bersubsidi daripada beberapa stesen minyak di sekiar Melaka.

Beliau berkata, bahan api haram itu dipercayai dijual dengan harga yang murah kepada pembeli dengan harga RM4 seliter berbanding RM4.30 seliter mengikut harga pasaran.

“Risikan ke atas premis berkenaan telah dibuat selama sebulan oleh pihak polis,” ujarnya.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 dan Seksyen 20(1) Akta yang sama. – SM

 

 

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button