EkonomiNasional

Tubuh jawatankuasa khas kaji semula GST – Putra Malaysia

CETEKNYA pemikiran bekas Menteri Kewangan Pakatan Harapan, Lim Guan Eng! Demikian kenyataan yang lahir daripada Ketua Penerangan Parti Putra Malaysia, Ashraf Rosli hari ini.

Menurut Ashraf, Putra mempunyai pendirian dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dibangkitkan oleh Guan Eng yang juga merupakan Setiausaha DAP di mana Guan Eng menegaskan, pelaksanaan GST menyebabkan berlaku kenaikan harga barang dan antara faktor menyusahkan kehidupan rakyat.

“Kita boleh menilai betapa ceteknya pemikiran bekas Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan ini. Putra pula bersetuju dengan cadangan pengenalan sistem tender terbuka dan ia wajib dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya, rasuah dan ketirisan.

“Tetapi kesimpulan mudah  di sini, ia hanya menyelesaikan masalah ketirisan dan penyalahgunaan kuasa,” kata Ashraf.

Menurut Ashraf dalam kenyataannya lagi, kerajaan tetap akan hilang hasil pendapatan yang boleh digunakan untuk terus membantu rakyat dan pembangunan negara.

Beliau berkata, GST harus diperkenalkan semula kerana ia menambah sumber pendapatan negara dan secara tidak langsung, dapat juga mengurangkan berlakunya punca ketirisan.

Umum tahu GST merupakan cukai yang dikenakan pada setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekal termasuk pengimportan barang dan perkhidmatan, ujar Ashraf.

“Ini membuktikan GST adalah sistem percukaian yang telus kerana setiap transaksi diambil kira dan direkodkan dari pengilang sehingga ke pengguna dengan menggunakan satu kadar dan tiada kadar tambahan dikenakan seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sedia ada.

“Jadi sudah tiba masanya kerajaan meneliti semula struktur percukaian tidak langsung yang sedia ada bagi menambah baik sumber pendapatan negara,” kata Ashraf.

Beliau menambah, cukai jualan adalah cukai satu peringkat dan dikenakan sekali sahaja di peringkat pengilang .

“Cukai Perkhidmatan pula dikenakan hanya ke atas perkhidmatan tertentu sahaja. Di sini kita dapat lihat struktur percukaian yang terlalu khusus ini membolehkan segelintir pihak pengimport, pengilang, pemborong tidak mengisytiharkan cukai,  melalui “pindahan harga” dan secara tidak langsung ketirisan pendapatan kerajaan telah berlaku.

“Oleh itu Putra mencadangkan agar kerajaan membentuk jawatankuasa khas yang terdiri daripada pelbagai kaum dan mesti merangkumi pakar ekonomi dan kewangan serta pakar percukaian.

“Ini adalah bagi mengkaji serta memberi cadangan yang ampuh dalam mengimplimentasi semula GST demi kepentingan ekonomi dan kewangan negara,” kata beliau.

Antara kajian yang boleh dilakukan oleh jawatankuasa ini adalah, kata Ashraf, merangkumi perkara di bawah:

  1. a) Kaji semula kadar peratusan cukai GST.

Mungkin GST boleh dimulakan dengan kadar yang rendah dahulu supaya peniaga dan pengguna dapat menyesuaikan diri dengan sistem GST.

  1. b) Pembetulan semula skop bagi barangan yang bakal dikenakan cukai GST.

“Jawatankuasa ini boleh melihat semula jenis-jenis barangan yang  akan dikenakan GST. Mungkin boleh dimulakan dengan barangan mewah seperti barangan kulit, perkhidmatan hospital swasta, barang kemas, kereta mewah dan sebagainya,” katanya.

Ashraf berkata, GST boleh dimulakan dengan barangan mewah yang digunakan oleh golongan T20 dahulu, seterusnya kepada M40 dan akhirnya barangan mewah bagi B40.

“Barangan keperluan asas seperti beras, tepung, telur dan lain-lain barangan keperluan asas mungkin boleh dikecualikan dari dicukai.

“Cadangan dari jawatankuasa khas ini mestilah bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan politik kepartian ataupun kaum,” katanya. – SM

(Visited 193 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button