Nasionalpilihan

Persefahaman rentas parti bukti pemimpin berjiwa besar, bukan kepentingan peribadi

Persefahaman rentas parti ini adalah kenyataan seorang pemimpin yang berjiwa besar yang memikirkan soal kemajuan negara dan bukannya untuk menjaga kepentingan peribadi.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar), Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd Nor berkata, insiatif yang dibentangkan hari ini jika undi percaya di Parlimen diterima adalah sesuatu yang ditunggu oleh mereka ang inign melihat kesuruban proses demokrasi dalam negara.

“Gunakanlah peluang keterbukaan pihak kerajaan ini untuk memperteguhkan kembali pentadbiran negara berasaskan sistem demokrasi Raja Berpelembagaan, mengangkat kedudukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya serta menyemarakkan Islam sebagai teras kepada perpaduan.

“Kita juga menggesa para pemimpin parti-parti politik untuk kembali memberikan tumpuan kepada kemaslahatan rakyat, bukannya berterusan melakukan gerakan politik untuk merampas kuasa, mengganti Perdana Menteri dan seumpamanya,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan membentangkan beberapa perkara jika undi percaya yang dijalankan diterima semua antaranya ialah peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang sama dengan ahli parlimen kerajaan, penyertaan menyeluruh dalam Pelan Pemulihan Negara dan menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada 2 penggal,


Selain itu, turut diumumkan ialah berkenaan undang-undang lompat parti, reformasi parlimen rentas parti dengan menambah jumlah jawatankuasa pilihan khas parlimen dan pelaksanaan undi 18.

Dr Mohd. Roslan turut menyambut baik usul kedudukan ketua pembangkang yang diberikan kemudahan setara dengan Menteri Kanan.

“Ini adalah satu perkembangan menarik yang belum pernah berlaku dalam negara ini.

“Nampaknya ketua pembangkang perlu berfungsi untuk turut sama membangun negara, bukan lagi hanya membangkang apa sahaja yang dicadangkan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, komitmen jelas Perdana Menteri yang telah dimaklumkan tempohari kepada seluruh rakyat Malaysia iaitu untuk menentukan keabsahannya melalui undi percaya pada sidang parlimen pada bulan September nanti sewajarnya dijadikan medan untuk menentukan keabsahan sokongan tersebut.

Namun menurut Dr Mohd Roslan,  agak mengecewakan kerana terdapat pihak-pihak yang terus sahaja mendesak serta memberikan tekanan politik kepada kerajaan.

Jelasnya, dalam keadaan semasa yang sedang berlaku sekarang, boleh dikatakan setiap hari rakyat akan mendengar mengenai tindakan-tindakan politik yang ingin dilakukan terutama oleh pihak yang cuba untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

“Ia bukanlah satu perkara yang baik untuk negara di mana kita melihat ia memberikan kesan kepada kestabilan dan juga usaha-usaha yang sedang berjalan untuk menangani pandemic covid-19.

“Rakyat sudah muak dengan gelagat sesetengah pemimpin politik ini yang saban hari memberi fokus perebutan kuasa, bukannya untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan, yang hilang pekerjaan dan ada yang tidak cukup makanan disebabkan kehilangan punca pendapatan ketika ini.

“Kita dapati terdapat titah Raja-Raja Melayu yang prihatin terhadap suasana politik semasa termasuklah Sultan Selangor, Sultan Johor dan Pemangku Raja Pahang,” katanya.

Ujarnya, Pintar  ingin menegaskan supaya rakyat menolak pemimpin parti-parti politik yang suka menangguk di air keruh yang mana ia boleh menggadaikan nyawa rakyat tanpa menghiraukan bahaya penyebaran covid-19. Pihak yang memberikan risiko kepada rakyat ini perlu ditolak.

Tambahnya, pihaknya juga merayu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk campur tangan bagi menyekat pihak-pihak yang sentiasa ingin mendapatkan kuasa.

“Ada baiknya pihak istana bertindak selaku pendamai dengan menggalakkan perundingan untuk kestabilan kerajaan sehinggalah satu tempoh kita dapat menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dengan melakukan proses PRU-15,” jelasnya. -SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button