Nasional

Sultan Selangor larang guna Allah pada kitab, buku agama Kristian

SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab dan buku agama Kristian di negeri itu.

Baginda mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa.

“Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di Negeri Selangor.

“Beta mengulangi pendirian Beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat-sifat kesempurnaan,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di dalam kes Jill Ireland binti Lawrence Bill melawan Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam baru-baru ini.

Sebagai Ketua Agama Islam Selangor, Sultan Sharafuddin akan mempertahankan kesucian kalimah Allah kerana menurut Baginda, memelihara kesucian kalimah Allah adalah menjadi tuntutan agama.

“Dan tanggungjawab Beta seperti mana Firman Alah S.W.T di dalam ayat 65 surah at-Taubah yang melarang daripada mempermainkan dan mempersendakan kalimah Allah : Yang bermaksud: “Katakanlah, patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

“Apa gunanya Beta menjadi ketua Agama Islam Selangor jika Beta gagal untuk menjamin kemuliaan kalimah Allah dan kesucian Agama Islam dari dicemari oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

“Beta sentiasa menekankan agar rakyat Beta dapat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama masing-masing yang boleh merosakkan perpaduan kaum di Negeri Selangor ini,” titah Baginda.

Serentak itu Sultan Sharafuddin menitahkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjadi pihak pencelah dalam rayuan kes tersebut dan menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam.

Sultan Sharafuddin bertitah, penegasan yang dibuat baginda selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuandi dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014.

Fatwa yang diwartakan di Negeri Selangor pada 18 Februari 2010 turut menyatakan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama bukan Islam yang lain.

Menurut Baginda, menjadi kewajipan bagi orang Islam untuk menyekat penggunaan kalimah Allah jika terdapat unsur-unsur penyalahgunaan atau penghinaan terhadap kalimah Allah tersebut.

Baginda mahu orang bukan Islam akur dengan larangan penggunaan kalimah Allah yang telah diperuntukkan dalam Enakmen Ugama Bukan Islam.

“Beta menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab semua umat Islam terutamanya umat Islam di Negeri Selangor untuk menjaga kesucian kalimah Allah pada setiap masa dan di dalam apa jua keadaan sekalipun.

“Beta juga menitahkan agar rakyat Beta yang bukan beragama Islam di Negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988.

“Ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin menegaskan, jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Baginda menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah Allah yang menjadi pegangan utama umat Islam.-SM

(Visited 863 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button