Nasional

Amal gaya hidup sihat, cegah diabetis – Raja Muda Perlis

Diabetes boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat iaitu pengambilan pemakanan yang seimbang dan mengikut porsi yang betul, mengekalkan berat badan yang unggul, mengawal paras kolesterol dan tekanan darah, melakukan aktiviti fizikal, melakukan saringan kesihatan serta mendapatkan rawatan awal bagi mereka yang bergejala.

Diabetes boleh menyebabkan pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, angin ahmar (strok), kegagalan buah pinggang, buta dan kerosakan saraf.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan projek peningkatan sosioekonomi asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa sebuah gerai yang diberi nama ‘Ali Kopi’ yang diusahakan oleh Mohamamad bin Nyan (No Tel : 0175038128) sejak tahun lalu di No 66 Kampung Kechor, Jalan Kaki Bukit, Kangar pada malam semalam.

Keberangkatan Tuanku Raja Muda sempena program ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat’ anjuran MAIPs bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan aktiviti CSR Nusa Baiduri Sdn Bhd serta Premier Water Services Sdn Bhd itu diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajuddin Hashim.

Dr Sirajuddin pula memaklumkan bahawa Hasil Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 bagi Penyakit Tidak Berjangkit mendapati bahawa prevalens diabetes di Malaysia adalah sebanyak 18.3 peratus. Negeri Perlis sendiri mencatat peningkatan prevalens diabetes yang ketara daripada 16.9 peratus (NHMS 2015) kepada 32.7 peratus (NHMS 2019). Tambah beliau, dianggarkan seramai 52,184 atau 1 daripada 3 penduduk dewasa di negeri Perlis menghidap penyakit diabetes.

Tambah beliau, diabetes merupakan keadaan di mana tahap gula di dalam darah adalah tinggi daripada normal. Antara faktor risiko yang menyumbang kepada diabetes adalah; berumur 35 tahun atau lebih, berat badan berlebihan atau obesiti, mempunyai latar belakang keluarga yang menghidap diabetes, sejarah diabetes pada kehamilan terakhir, tekanan darah tinggi, tidak aktif secara fizikal, pengambilan makanan yang tidak seimbang dan tidak mengikut porsi yang betul serta mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

Menyentuh kepada projek usahawan asnaf yang dirasmikan tersebut, Mohd Nazim memaklumkan bahawa setakat ini selain menyalurkan bantuan secara berkala oleh pihak MAIPs dan juga bantuan perumahan berjumlah RM46,000 pada bulan Ogos 2019, Mohamamad juga telah disumbangkan bantuan peralatan perniagaan daripada MAIPs bernilai RM3,240. Pada malam semalam juga secara dasarnya Mohd Nazim mengumumkan kelulusan tambahan MAIPs berjumlah RM2,500 maksima untuk Mohamamad yang lebih dikenali sebagai ‘Pak Ali’ di kalangan masyarakat setempat untuk menggantikan atap bumbung gerai beliau bagi tujuan memastikan keselamatan dan juga keselesaan para pengunjung.

(Visited 134 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button