Politik

Jailani bidas Lembaga Disiplin UMNO bocor kandungan suratnya

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Muhammad Jailani Khamis membidas Lembaga Disiplin UMNO kerana tidak telus apabila membocorkan kandungan surat beliau yang antaranya memohon dipecat daripada parti.

Bekas Exco Melaka itu hairan bagaimana surat jawapan kepada notis tunjuk sebab kerana hadir program Perikatan Nasional (PN) di Johor bulan lalu itu boleh disebarkan kepada media dalam tempoh kurang 24 jam selepas diserahkan semalam.

Jailani turut menjelaskan surat itu juga mengandungi pemberitahuan bahawa beliau tidak dapat hadir ke prosiding pendengaran Lembaga Disiplin UMNO pada jam 2.30 petang semalam kerana menjalani rawatan di hospital.

“Pegawai saya hantar surat sekitar jam 1 tengah hari semalam dan disahkan diterima tetapi media sudah keluarkan berita tentang kandungan surat itu belum sampai 24 jam.

“Kalaulah surat belum dijawab mereka tak boleh nak jaga, macam mana UMNO hendak lihat nasib rakyat…sepatutnya surat itu disimpan dan proses,” katanya kepada FMT mengulas laporan sebuah media bahawa beliau memohon dipecat keahliannya daripada UMNO.

Beliau bagaimanapun mengesahkan laporan media itu berhubung isi kandungan surat meminta UMNO memecatnya dan penjelasan berhubung kehadiran ke program pengumuman calon PN PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram atas kapasiti wakil Muafakat Nasional (MN).

Jailani antara dua bekas Exco Melaka di bawah pimpinan Sulaiman Ali yang tidak dicalonkan semula selepas Datuk Ab Rauf Yusoh dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka pada Mac lalu.

Sebelum itu, Jailani menyifatkan pelantikan Rauf adalah tindakan mungkir janji manifesto UMNO dan BN pada PRN 2021.

Pada Mac 2020, beliau antara empat wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Melaka yang bertindak menyokong gabungan PN-BN menyebabkan kerajaan pimpinan Adly Zahari ketika itu tumbang.

Beliau menyertai semula UMNO pada 2021 daripada PKR, lima tahun selepas meninggalkannya. – SM

 

(Visited 133 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button