Politik

Isu Veveonah kegagalan nyata UMNO, Bersatu dan BN

KENYATAAN Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin dan MP Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri menunjukkan kegagalan UMNO dan Bersatu memahami isu utama tentang kemunduran infrastruktur di Sabah selama ini.

Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, video yang disiarkan Veveonah Mosibin sepatutnya membuka mata pemimpin-pemimpin tersebut tentang usaha untuk membangunkan Sabah tetapi mereka gagal melihat perkara itu.

Sebaliknya katanya, kedua-dua timbalan menteri itu memilih untuk membuli Veveonah dan membunuh karakter anak gadis itu yang cuba mengubah kehidupan masyarakatnya ke arah lebih baik.

Tegasnya, tidak hairanlah kenapa selepas 26 tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN), Sabah masih ketinggalan kerana pemimpin-pemimpinnya yang masih dalam sindrom penafian, tidak mengakui kegagalan mereka, malah menyalahkan rakyat yang cuba membangkitkan masalah dihadapi.

“Topik utama ialah Sabah ada masalah dengan isyarat talian telefon, selepas 26 tahun BN perintah, jangan cerita Pitas pergi Kota Belud dari Kota Kinabalu pun kita akan merasai pengalaman talian terputus.


“Sedangkan di Kota Belud Datuk Seri Salleh Said Keruak pernah menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, tetapi isunya bukan pada Salleh sebaliknya kegagalan Kerajaan Persekutuan selama ini menunaikan tanggungjawab menyediakan fasiliti di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menempelak Zahidi dan Abdul Rahim kerana hanya melihat isu Veveonah sebagai Youtuber yang kononnya hanya mereka-reka video untuk meningkatkan tontonan.

Katanya, kreativiti Veveonah dalam menghasilkan video itu sepatutnya mendapat pujian kerana dalam usia yang masih muda, anak gadis itu sudah mampu menjana pendapatan untuk membiayai pembelajaran dan keluarganya.

“Ahmad Maslan pun dulu buat kempen, buat dua kerja untuk tambah pendapatan, maka apa salahnya jika Veveonah buat dua kerja dalam satu masa, belajar dan jadi Youtuber?

“Sebagai seorang Youtuber dan pelajar, sudah tentu dia mengalami masalah untuk mengakses internet di tempatnya sampai terpaksa panjat pokok, panjat pokok sebab tiada talian di bawah pokok,” kata Mohd. Azis.

(Visited 33 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button