Politik

Tok Mat jelik bekas pemimpin PKR cakap pasal perpaduan ummah

TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan rasa jelik terhadap bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat yang meninggalkan parti itu bercakap mengenai perpaduan ummah.

Mohamad berkata, selama berpuluh tahun pemimpin yang meninggalkan PRK tersebut tidak pernah bercakap mengenai perpaduan ummah.

“Mereka inilah yang sebenarnya anti perpaduan Melayu. Mereka tidak pernah memperjuangkan sebarang usaha perpaduan. Sehinggalah apabila nyawa mereka seperti telur di hujung tanduk, kelangsungan parti mereka menjadi begitu getir, baharulah mereka mula tergagap-gagap bercakap tentang perpaduan bangsa.

“Lebih menjelikkan, bila mereka yang meninggalkan PKR turut tidak malu mahu bercakap berkenaan perpaduan ummah. Sedangkan selama berpuluh-puluh tahun, perjuangan mereka tidak pernah sekali pun menjurus kepada kebaikan orang Melayu, apatah lagi perpaduan ummah,” katanya.

Dalam ucapan perasmian Persidangan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO hari ini, Mohamad turut mengingatkan pihak terbabit supaya tidak bercakap mengenai perpaduan ummah dengan UMNO jika mereka  hanya tahun memancing dan mengutip sesiapa sahaja yang meninggalkan perjuangan bangsa menjadi ahli parti terbabit.

“Jadi, kepada pemimpin serpihan parti Melayu yang baru setahun jagung usianya, usahlah tuan-tuan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO. Bila tuan-tuan sendiri tidak punya sebarang rekod menyatu padukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia.

“Jangan berbicara tentang perpaduan ummah dengan UMNO, kalau tuan-tuan sendiri berentap dengan mereka yang sebelum ini tuan-tuan peluk dan dakap mesra,” kata Mohamad.

Menurut Mohamad, kedudukan perpaduan orang Melayu ketika ini tidak terlalu meruncing walaupun sekali sekala terdapat kocakan.

Namun secara umum perpaduan orang Melayu semakin mengukuh sejak UMNO dan Pas menerokai jalan perpaduan.

“Orang Melayu dalam kedua-dua parti besar ini semakin erat dan akrab, sehingga membuahkan pelbagai kejayaan dalam beberapa PRK yang lepas. Kita leraikan pergeseran silam, kita bersatu atas nama Islam dan Melayu.

“Namun, tentu sekali kita akan melihat perpecahan jika konsep perpaduan bangsa Melayu itu ditafsirkan dalam konteks politik semata-mata. Jadi, janganlah perpaduan ummah itu, pada kita tidak lebih dari sekadar parti-parti Melayu duduk bersama dalam sebuah perikatan politik.

“Tafsiran sebegini sangat cetek. Ini kerana, jumlah orang Melayu yang diwakili oleh kedua-dua parti besar Melayu sebenarnya hanyalah dalam lingkungan 4 juta sahaja,” katanya.

Mohamad menegaskan, perpaduan bangsa Melayu merupakan cita-cita besar yang akan terus UMNO dukung dengan tegas dan setia.

UMNO tidak akan melacurkan perpaduan Melayu dalam matlamat politik yang sempit dan meleburkannya dalam perlumbaan kuasa yang tidak cerdik.

“Yang akan UMNO usahakan adalah, perpaduan seluruh bangsa Melayu. Yang berpolitik atau tidak, yang berparti atau tidak dan yang dalam kerajaan mahupun pembangkang. Semuanya akan kita pandang dan kita undang. Rukunnya hanya satu, iaitu Melayu!

“Semua ini mesti kita jayakan dengan hanya satu tujuan. Iaitu demi membangunkan kebingkasan orang Melayu. Dan bukan untuk menyelamatkan mana-mana individu atau perikatan politik tertentu.

“Dan saya tegaskan juga. Pada UMNO, perpaduan Melayu bukan sekadar mengukuhkan kedudukan bangsa Melayu, tetapi juga perpaduan nasional,” katanya.-SM

 

(Visited 437 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button