fbpx
Ekonomi

Sukuk RM9.9 bilion untuk pelan pemulihan Felda

KABINET telah meluluskan adangan penerbitan sukuk oleh FELDA bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan Felda yang dikemukakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan kewangan Felda dijangka mencatatkan aliran positif bermula tahun 2023.

Ini berikutan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang diluluskan oleh Kabinet melalui cadangan yang dibentangkan oleh Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda pada 14 Oktober lalu.

Antara cadangan yang diterima oleh Jemaah Menteri ialah penstrukturan semula hutang dengan institusi kewangan, meningkatkan pendapatan teras dari tanah ladang Felda dengan menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan meningkatkan daya berdikari peneroka.

“Felda akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang dihormati dan berdaya maju.


“Penyelesaian isu-isu yang dihadapi oleh Felda tidak akan lengkap tanpa pengukuhan tadbir urus serta kecekapan dalam menguruskan ladang,” kata Mustafa dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu Lembaga Pengarah serta pengurusan Felda diminta supata komited meningkatkan kecekapan pengurusan dan menambahbaik tadbir urus.

Pelaksanaan cadangan-cadangantersebut akan dipantau secara terperinci oleh sebuah jawatankuasa pemantauan yang akan membuat laporan terus kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Pasukan Petugas Khas bagi menangani isu Felda dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Wahid Omar dan turut disertai oleh Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh.

Pasukan ini juga merupakan kesinambungan daripada Kertas Putih ‘Ke Arah Kelestarian Felda’ yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 April tahun lalu.

Pasukan ini telah mengenal pasti beberapa masalah utama yang dihadapi oleh FELDA dan amat penting untuk ditangani segera.

Antara masalah utama yang dihadapi ialah struktur modal yang tidak mampan dan bebanan hutang yang tinggi berjumlah RM10.6 bilion.

Keadaan ini juga berpunca daripada sumber pendapatan yang berkurangan terutamanya terimaan bayaran pajakan bagi 351,000 hektar tanah ladang dan perkongsian keuntungan yang rendah berbanding jangkaan di bawah LLA.

Kelemahan tadbir urus dan pengurusan kewangan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh Felda.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button