Ekonomi

Kumpulan Public Bank catat untung sebelum cukai RM4.02 Bilion bagi suku pertama 2022

Untuk setengah tahun pertama 2022, Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.02 bilion, meningkat sebanyak 6.0 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021.

Peningkatan keuntungan itu dipacu terutamanya oleh pendapatan faedah bersih lebih tinggi serta peruntukan
pengurangan nilai pinjaman yang lebih rendah. Pendapatan faedah bersih melonjak sebanyak 3.4 peratus kepada RM4.32 bilion, disokong oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik, selain margin faedah bersih yang meningkat.

Keuntungan bersih milik pemegang saham adalah lebih rendah pada RM2.82 bilion pada setengah tahun pertama berakhir pada bulan Jun 2022, berbanding dengan RM2.91 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2021 berikutan kesan daripada cukai makmur.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank, Tan Sri  Dr. Teh Hong Piow,  berkata, “Peralihan kepada endemik berserta aktiviti perniagaan dan sentimen pengguna yang meningkat telah menyebabkan persekitaran perniagaan bertambah baik, sekali gus menyokong perniagaan perbankan teras Kumpulan bagi pinjaman dan deposit.”

Beliau menambah, “Kumpulan Public Bank terus mengendalikan kunci kira-kira dan kualiti asetnya dengan hemat bagi memastikan perlindungan yang mencukupi di tengah-tengah cabaran ekonomi.

“Untuk setengah tahun pertama tahun 2022, nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar kekal rendah pada 0.3 peratus walaupun program bantuan pembayaran balik di bawah skim PEMULIH telah berakhir.

Asas kukuh dan pengurusan berhemat Kumpulan telah membolehkan Kumpulan untuk terus mengekalkan pulangan ekuiti bersih yang bertahan sebanyak 12.0 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 33.5 peratus, yang kesemuanya dalam lingkungan sasaran Kumpulan untuk tahun 2022.”

Berikutan itu, Dr.  Teh sukacita mengumumkan bahawa, “Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 8.0 sen sesaham, menyebabkan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM1.55 bilion, merupakan 55.2 peratus daripada keuntungan bersih Kumpulan untuk setengah tahun berakhir pada 30 Jun 2022.

“Dividen interim pertama ini akan dibayar pada 23 September 2022 berdasarkan tarikh kelayakan dividen pada 14 September 2022.” katanya.

Perniagaan Pinjaman dan Deposit Pada setengah tahun pertama tahun 2022, jumlah pinjaman Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 5.6% kepada RM368.0 bilion, berbanding dengan RM358.0 bilion pada akhir bulan Disember 2021.

Pinjaman domestik berkembang pada kadar tahunan sebanyak 5.4 peratus kepada RM343.6 bilion,
sejajar dengan kadar pertumbuhan tahunan industri sebanyak 5.4 peratus. Ini terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan kukuh segmen pemberian pinjaman Kumpulan yang penting untuk hartanah kediaman dan pembiayaan sewa beli.

“Walaupun cabaran dan persaingan ekonomi hebat dan amat ketara di pasaran, Kumpulan berupaya mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju domestik dalam hartanah kediaman, pembiayaan sewa beli dan pembiayaan PKS dengan bahagian pasaran masing-masing sebanyak 20.5 peratus, 30.5 peratus dan 20.5 peratus,” kata Dr. Teh.

Dari segi pendanaan, jumlah deposit pelanggan Kumpulan mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.1 peratus kepada RM388.3 bilion dalam tempoh yang sama.

Deposit domestik berkembang pada kadar tahunan sebanyak 3.6 peratus kepada RM358.9 bilion berbanding dengan pertumbuhan industri tahunan sebanyak 4.0 peratus.

Ini terutamanya disokong oleh aliran masuk deposit yang stabil, dengan deposit semasa dan simpanan
berkembang pada kadar tahunan sebanyak 9.3 peratus dan deposit tetap berkembang pada kadar tahunan sebanyak 6.0 peratus.

Beliau berkata, mudah tunai dan struktur pendanaan Kumpulan Public Bank kekal baik dengan nisbah pinjaman kepada dana dan ekuiti kasar sebanyak 81.0 peratus pada 30 Jun 2022.

Pendapatan Bukan Faedah

Pada setengah tahun pertama tahun 2022, pendapatan bukan faedah Kumpulan Public Bank turun sebanyak 15.4 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2021 disebabkan oleh keadaan pasaran yang muram yang menjejaskan perniagaan pengurusan unit amanah dan pembrokeran saham, serta pendapatan pelaburan
Kumpulan.

Bagaimanapun, perniagaan unit amanah Kumpulan, yang dijalankan oleh subsidiari milik penuhnya iaitu Public Mutual, kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan bukan faedah Kumpulan.

Dr. Teh menegaskan, “Pada setengah tahun pertama tahun 2022, Public Mutual mencatatkan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM392.2 juta, menyumbang 9.7 peratus  kepada keuntungan Kumpulan. Meskipun sentimen pasaran muram, Public Mutual terus menguasai bahagian pasaran runcit yang besar
sebanyak 35.2 peratus, dengan sejumlah 177 dana unit amanah dan jumlah aset di
bawah pengurusan sebanyak RM92.1 bilion.”

 

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button