Nasional

PM ulangi komitmen buka sempadan negeri bila 90% dewasa lengkap divaksin

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini sekali lagi mengulangi komitment kerajaan untuk membuka sempadan antara negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan orang dewasa.

“Seperti yang telah saya umumkan pada 22 September, kerajaan akan membenarkan pergerakan rentas negeri apabila kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus.

“Kerajaan juga akan mempertimbangkan lebih banyak sektor ekonomi untuk kembali beroperasi seperti biasa bagi membolehkan rakyat meneruskan kehidupan dengan lebih baik setelah ia ditutup sejak sekian lama,” kantanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga malam tadi sejumlah 85.1 peratus populasi dewasa lengkap menerima dua dos vaksin.

Perdana Menteri turut melahirkan kegembiraan kerana Malaysia terus merekodkan trend menurun bagi kadar
kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19.

Ismail Sabri yakin negara akan terus mencatatkan trend penurunan kes virus yang boleh membawa maut itu.

“Semalam, R-naught bagi seluruh negara mencatatkan nilai 0.88 dan kemasukan pesakit COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan trend penurunan.

“Berdasarkan R-naught yang masih kekal di bawah nilai 1.0, kerajaan yakin unjuran harian kes baharu jangkitan COVID-19 akan terus mencatatkan trend penurunan dengan kerjasama Keluarga Malaysia mematuhi SOP meskipun jumlah kes jangkitan harian COVID-19 menunjukkan ketidaktentuan,” katanya.

Tambah beliau, , Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) turut mendapat sambutan menggalakkan apabila mencatatkan sebanyak 1,217,386 dos vaksin telah diberikan kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun.

Perkembangan tersebut selari dengan matlamat kerajaan yang mahu seramai mungkin pelajar menerima vaksinasi lengkap menjelang pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula Oktober depan.-SM

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button