Nasional

Tambahan lapan minit solat Subuh di Selangor berikutan fajar sadiq

WAKTU solat subuh bagi seluruh kawasan di Selangor dengan tambahan lapan minit daripada waktu asal semasa adalah disebabkan waktu bermulanya fajar sadiq (waktu bermula subuh), yang berlaku pada sudut matahari berada di kedudukan 18 darjah di bawah ufuk.

Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata ia berbeza dengan waktu yang diguna pakai sebelum ini iaitu pada sudut matahari 20 darjah.

“Selangor telah membuat pemakluman lebih awal dari negeri lain iaitu pada hari ini dan mengumumkan tarikh kuat kuasa pada keesokannya iaitu pada 29 Nov.

“Tidak timbul isu solat subuh sebelum ini tidak sah kerana berdasarkan kepada ijtihad dan ilmu yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata penduduk di setiap negeri perlu patuh kepada arahan Ulul Amri iaitu Sultan atau Raja bagi negeri beraja, Yang Dipertua Negeri bagi negeri tiada raja dan Yang di-Pertuan Agong bagi Wilayah Persekutuan, berhubung setiap perubahan waktu solat yang telah diumumkan.

Katanya, selagi tiada arahan baharu dikeluarkan, waktu sedia ada adalah sah diikuti kerana urusan agama ditentukan oleh Ulul Amri.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan terdapat perubahan waktu solat subuh dengan tambahan lapan minit berkuat kuasa esok.

JAIS berkata perubahan waktu solat subuh itu dibuat hasil kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) berdasarkan kepada kecerahan langit pada tempoh masa berkenaan.- BERNAMA

(Visited 318 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button