fbpx
Nasional

YTSP beri sumbangan sempena ulang tahun ATM

Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Yayasan Geomatika University College dan Temis (M) Sdn Bhd menyumbangkan RM6300 kepada Tabung Kebajikan Rejimen Markas Briged Sempadan Tentera Darat Malaysia sempena program kayuhan bersempena sambutan ‘Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-87’ yang bermula dan berakhir di Kem Bukit Cowder, Markas Briged Ke-30 Infantri, Mata Ayer pada petang semalam.

Sumbangan tersebut akan digunakan bagi tujuan kebajikan tentera merangkumi para anggota Markas Briged Ke-30 Infantri, 4 Rejimen Renjer DiRaja, Rejimen 504 Askar Wataniah dan 6 Skuadron Rejimen Askar Jurutera DiRaja yang kesemuanya berpengkalan di negeri Perlis.

Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis berkenan menyerahkan sumbangan tersebut kepada Panglima Markas Briged Ke-30 Infantri, Brigedier Jeneral Hassan Embong dan disaksikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Hadir sama, Panglima Briged Ke 6 Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Halim Khalid dan Komandan Kolej Tentera Udara, Brigedier Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Hj Mustapha TUDM serta Ketua Polis Perlis, SAC Datuk Surina Saad.


Program yang membawa tema ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ disekalikan dengan aktiviti ‘MAIPs Peduli Kali ke 48 bagi tahun 2020’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu turut melibatkan persinggahan bagi menyantuni serta menyampaikan agihan zakat MAIPs dan juga sumbangan ikhlas dari warga Markas Briged Ke-30 Infantri kepada tiga asnaf terpilih di rumah masing-masing.

Dalam ucapan beliau di akhir program, Hasagaya mengingatkan semua anggota tentera bahawa semangat setia dan keperwiraan untuk berjuang bagi mempertahankan kedaulatan negara perlu sentiasa utuh dalam jiwa masing-masing.

Selain berkhidmat bagi mempertahankan kedaulatan negara, tentera juga berkhidmat untuk orang awam dan rakyat dalam memastikan segala perkara dijaga bersama dengan baik.

Beliau mahu supaya setiap anggota tentera sentiasa fokus dan memperbanyakkan latihan untuk menjadi yang terbaik kerana hanya melalui latihan sahaja yang mampu membuatkan seseorang itu sentiasa bersedia dalam apa jua situasi, walaupun kita berada dalam keadaan aman dan tidak berperang pada ketika ini.

Hasagaya yang pernah menerajui Markas Briged Ke-30 Infantri di Perlis sebagai Panglima beberapa tahun yang lalu juga menambah bahawa tahap kesihatan dan kecergasan setiap anggota mestilah berada di peringkat yang sangat baik dan hanya melalui latihan-latihan bersesuaian yang dilaksanakan maka dapat memastikan tahap kesihatan dan ‘fitness’ masing-masing berada di tahap yang memuaskan pada sebilang masa.

Beliau juga menekankan betapa keadaan sekeliling akan sentiasa berubah dek arus kemodenan teknologi dan pembangunan dari masa ke semasa, namun seorang anggota tentera dan seluruh pasukannya perlu sentiasa bersedia untuk menyesuaikan diri dalam apa jua situasi.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda Perlis yang juga selaku Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat mengingatkan semua betapa perlunya kita menerima hakikat bawa selain musuh hakiki yang sentiasa berusaha menganggu gugat keselamatan negara, namun hari ini ‘musuh’ terbaharu kita bersama adalah penularan wabak COVID-19 yang bukan hanya mengancam keselamatan negara bahkan dunia secara amnya. Walaupun sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia pada 16 September saban tahun terpaksa diraikan di dalam keadaan pandemik COVID-19 kali ini, namun baginda berharap ia tidak akan sama sekali mematahkan semangat para anggota kita dalam mempertahankan negara.

Baginda juga menasihatkan agar para anggota tentera secara khusus dan rakyat amnya sekalian menjaga kesihatan dan keselamatan diri, mematuhi segala SOP yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sesuai dengan inisiatif ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat’ dan sama-sama memerangi wabak COVID-19 ini demi masa depan keluarga tersayang serta bangsa dan negara yang tercinta ini.

(Visited 31 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button