Nasional

Muhyiddin ucap tahniah kepada PM Singapura atas kemenangan pilihan raya

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong atas kejayaan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinannya memenangi pilihan raya umum 2020 (PRU2020) negara itu, Jumaat lalu.

Muhyiddin yakin hubungan 2 hala sedia ada antara kedua-dua negara akan terus berkembang di bawah kepimpinan Lee sebagai perdana menteri.

“Sebagai jiran dan rakan kongsi terdekat di ASEAN, kerjasama berterusan antara Malaysia dan Singapura tentunya akan menguntungkan rakyat kedua-dua negara dari segi pertumbuhan ekonomi, keamanan dan kemakmuran,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Mengulas mengenai isu dua hala yang belum selesai, Muhyiddin memaklumkan bahawa kedua-dua pihak sepakat untuk terus positif dalam mencari penyelesaian dengan berpaksikan kepada kepentingan bersama.

Menurut perdana menteri dalam perbualan telefon dengan Lee, kedua-dua mereka bersetuju menyelesaikan setiap masalah dan isu secara damai agar menjadi asas dan panduan dalam apa juga rundingan yang dilakukan pada masa kini dan akan datang.

“Ini bagi memelihara hubungan erat dan penting antara Malaysia dan Singapura yang sekian lama terjalin,” katanya.

Dalam perbualan itu, kedua-kedua pemimpin turut menyentuh soal hubungan bilateral serta Projek Sistem Transit Rapid (RTS) dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Menyentuh mengenai projek RTS, Muhyiddin berkata, projek membabitkan Johor Bahru-Singapura kini dalam proses perbincangan aktif pegawai kedua-dua negara dan menjangkakan perjanjian 2 hala dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Selain itu, Muhyiddin, yang juga presiden PPBM, turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada Singapura atas persetujuan melanjutkan tempoh penggantungan HSR dari 1 Jun hingga 31 Disember 2020 tanpa sebarang kos dan penalti kepada Malaysia.

Beliau pada masa sama menyifatkan ia amat signifikan kepada cerminan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Muhyiddin membangkitkan mengenai perbincangan yang berlangsung sebelum ini antara pegawai kedua-dua negara berhubung Laluan Hijau Dua Hala (RGL) dan Aturan Perjalanan Berkala (PCA) antara Malaysia dan Singapura.

“Saya menyuarakan harapan Malaysia untuk melihat kedua-dua inisiatif yang difahamkan berada di peringkat akhir perbincangan itu dapat dimuktamadkan serta dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau juga berkata, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk segera bertemu bagi membincangkan pelbagai perkara sebaik sahaja situasi pandemik Covid-19 di Malaysia dan Singapura bertambah baik. – SM

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button