Ekonomi

Raja Muda Selangor komited bantu usahawan belia tembusi pasaran United Kingdom

Menerusi kerjasama Memorandum Persefahaman antara Selangor Youth Community (SAY) dengan Halal Street UK

SELANGOR Youth Community (SAY) telah memeterai perjanjian memorandum persefahaman bersama Halal Street UK di pejabat Malaysia High Commission di London, United Kingdom pada hari ini. Turut berkenan untuk hadir menyaksikan majlis tersebut iaitu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, pengasas dan penaung diRaja Selangor Youth Community (SAY).

Perjanjian memorandum persefahaman di antara Selangor Youth Community (SAY) dan Halal Street UK adalah bertujuan untuk memberi peluang terutamanya kepada usahawan belia yang mempunyai produk yang baik dan berpotensi untuk dipasarkan produk mereka ke pasaran United Kingdom menerusi sebuah platform e-dagang iaitu Halal Street UK.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif bersama Pegawai Kanan Selangor Youth Community (SAY), iaitu Puan Nurul Azwa Binti Mohd Rodzi dan Encik Abdullah Muaz Bin Mohd Norman, manakala dari pihak Halal Street UK diwakili oleh Tuan Simon K. Suresh dan Encik Hairul Hafizi Bin Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar di Halal Street UK.

Platform ini ditubuhkan bukan sahaja bertujuan untuk menawarkan solusi produk Halal kepada masyarakat Muslim di United Kingdom seramai 4.1 juta orang, malahan juga untuk memperkenalkan makanan dan budaya masyarakat Malaysia ke negara Eropah yang terkenal di seluruh pelosok dunia. Halal Street UK merupakan sebuah platform e-dagang bagi syarikat-syarikat lokal di Malaysia untuk memasarkan produk-produk di pasaran United Kingdom.


Platform ini mensasarkan jualan secara perniagaan kepada pelanggan (B2C) iaitu melalui platform e-dagang manakala jualan secara perniagaan kepada perniagaan (B2B) melalui penyertaan syarikat tersebut ke serata pameran makanan dan sebagainya yang terdapat di UK pada setiap tahun.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 900 vendor syarikat telah berjaya didaftarkan ke platform e- dagang tersebut dengan bantuan dan sokongan daripada geran Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk syarikat yang berminat untuk mendaftar, anda boleh layari laman sesawang https://www.halalstreet.co.uk.  – SM

(Visited 59 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button