Nasional

Sultan Selangor dukacita sikap ahli politik tak peduli masalah, kesusahan rakyat

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan dukacita terhadap kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, baginda menzahirkan kebimbangan Baginda berhubung kemelut politik Negara yang dilihat tiada berkesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat di Negara ini.

“Rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa dilihat bercakaran dan bertelingkah di dalam merebut kuasa pemerintahan Negara.

“Kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat yang terkesan akibat gejala wabak COVID-19 dan ditambah pula dengan kedudukan ekonomi rakyat yang amat terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhamad Munir, baginda menegaskan ahli-ahli politik seharusnya bertanggungjawab di dalam memastikan penderitaan rakyat ini sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

Jelasnya, Sultan Sharafudin mahu kesusahan dan penderitaan rakyat di dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani serta diselesaikan dengan mengambil pendekatan yang drastik dan efektif.

“Baginda mahukan semua pihak terutama ahli-ahli politik di Negara ini, untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing.

“Sultan Selangor mahu mereka sentiasa fokus di dalam membantu rakyat dan Negara menangani masalah penyebaran wabak COVID-19 dan membina semula ekonomi Negara yang teruk terjejas,” katanya. -SM

(Visited 800 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button