Hiburan

Siti Nurhaliza anggap nyanyian Aishah satu penghormatan buat dirinya

PADA April 1995, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah menyanyikan lagu dendangan Aishah yang berjudul Camar Yang Pulang.

Ketika itu, Siti berusia 16 tahun dan menyertai pertandingan Bintang HMI anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selepas 25 tahun, tidak siapa menyangka yang Aishah pula akan menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu dendangan Siti untuk separuh akhir Muzik-Muzik.

Menurut Siti, dia berterima kasih kepada Aishah kerana sudi menyampaikan lagu dendangannya itu di pentas tersebut.

“Tidak ada niat menyembunyikan atau berteka-teki tetapi semuanya sudah dipersetujui terutama ketika pihak label dan komposer, Ippo Hafiz belum lagi dapat menamakan atau mendapatkan penyanyi untuk lagu ini.

“Banyak proses dilalui dan Alhamdulillah, dipermudahkan hingga Aishah tampil malam semalam,” katanya.

Menurut Siti, dia sebagai penyanyi menyokong anak-anak muda atau mana-mana komposer yang berkarya dan tentunya Juara Lagu adalah salah satu pentas buat mereka.

Jelasnya, Jika dia tidak menyanyikannya, karya mereka tetap dapat dipersembahkan.

“Saya menghormati bakat sesiapa sahaja di dalam industri baik yang senior atau junior.

“Terima kasih Aishah kerana sebelum ini saya yang menyanyikan lagunya dalam persembahan masa saya belum menjadi artis.

“Hari ini, satu penghormatan buat saya apabila beliau menyanyikan lagu saya,” jelasnya.

Sementara itu, Aishah berkata dia bersyukur kerana tanggungjawab menyanyikan lagu Siti selesai dengan baik walaupun mengundang pelbagai reaksi daripada peminat.

“Permintaan untuk menyanyikan lagu ini datang selepas menerima panggilan dari Rozie bagi pihak Siti Nurhaliza Production Isnin lepas.

“Bagi saya, ini adalah peluang yang sukar dilepaskan. Apatah lagi wanita ini adalah seorang yang sangat merendah diri walaupun sudah mencapai pelbagai kejayaan besar dalam dunia seni,” katanya.

Tambah Aishah, Siti juga sempat menghantar ucapan semoga berjaya buatnya dan menghantar makanan selepas selepas persembahan. -SM

(Visited 499 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button